Najib Minta Anggota UMNO Yakin Dengan Perjuangan Parti

PEKAN, 22 Sept – Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta anggota parti itu agar terus istiqamah dan yakin dengan perjuangan parti sekalipun tewas pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya perjuangan UMNO tidak berubah sejak penubuhannya 61 tahun lalu iaitu untuk membawa bangsa, agama dan negara ke tahap lebih baik.

“Kita sudah lihat bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diharap untuk membawa bangsa, agama dan negara seperti kemampuan UMNO selama 61 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Sekampung dan gotong-royong memasak bubur Asyura di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Katanya kekalahan pada PRU lalu bukan bermakna UMNO harus kalah dari segi semangat dan daya juang.

Pada masa sama, bekas perdana menteri itu menyifatkan kerajaan PH sebagai munafik kerana hanya tahu menabur janji namun tidak menepatinya.

“Rata-rata rakyat meluahkan rasa kekecewaan sebab janji-janji manis yang ditabur pada pilihan raya lalu hanya tinggal janji sahaja,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.