Mahdzir Khalid Kecam Kaitkan Dirinya Antara Keluar UMNO

PADANG TERAP, 22 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas pihak tertentu, termasuk akhbar tempatan, yang mengaitkan dirinya sebagai antara individu yang akan meninggalkan parti.

Mahdzir yang juga Anggota Parlimen Padang Terap berkata, laporan akhbar itu tidak sepatutnya mengaitkan dirinya dengan tindakan keluar parti dan berpendapat laporan itu sebagai andaian semata-mata.

Perbuatan mengaitkan beliau dan memuatkan gambarnya bersama Anggota Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada bahagian muka depan serta halaman kedua akhbar itu menimbulkan persepsi yang tidak baik pada diri dan parti, katanya.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Kacau Bubur Asyura daerah Padang Terap, di sini, hari ini, Mahdzir meminta pihak terbabit bertanggungjawab dan mencari kaedah terbaik untuk memperbetulkan laporan tersebut.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO mengumumkan meninggalkan parti dan terbaharu ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Anggota Parlimen Jeli dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang juga Anggota Parlimen Kimanis.

Dalam pada itu, Mahdzir turut membidas anggota UMNO yang meninggalkan parti ketika parti sedang diuji dan menyifatkan mereka tidak ada daya tahan dalam perjuangan.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.