Kerajaan PH Johor Perlu Tumpu Perancangan Baru Untuk Negeri Dan Rakyat – Hasni

JOHOR BAHARU, 22 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad berkata pihaknya menerima hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) telah mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu di negeri berkenaan namun apa yang mengecewakan adalah sikap serta tindak-tanduk yang diambil oleh kerajaan baharu hari ini.

Menurut beliau kerajaan negeri seharusnya menumpukan kepada perancangan serta pelbagai aspek lain dalam usaha memajukan lagi negeri berkenaan, tambahan pula asasnya telah dibina oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Kerajaan negeri sepatut menumpukan pembangunan kerana di bawah kerajaan BN dahulu kita dah merancang untuk membawa negeri Johor sebagai negeri yang maju dengan projek-projek yang telah kita rancang dan diiktiraf kerajan Persekutuan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baru negara.

“Kita telah membangunkan pelan dekad baru Johor yang mana bukan sahaja kita merancang untuk lima tahun tetapi untuk 10 tahun.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula… apa rancangan mereka buat apa… apa yang mereka ada selain tukar jenama di bas-bas muafakat Johor dijadikan bas harapan, program bantuan siswazah hanya ditukar nama dan sebagainya lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Penerangan Isu Semasa yang disiarkan menerusi fb live Johor Press di sini, hari ini.

Turut menjadi Ahli Panel, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah manakala Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Dr Adham Baba selaku moderator.

Hasni seterusnya menegaskan ahli parti jangan sesekali hilang keyakinan terhadap UMNO terutama dengan pelbagai tohmahan termasuklah bersifat perkauman dan sebagainya.

“Kita dah perintah negara lebih 60 tahun. Hanya kerana dilabelkan sebagai penipu, perompak, rasis, suka kepada isu perkauman maka rakyat di luar sana percaya.

“Namun ramai juga di luar sana termasuklah anak-anak muda yang masih letak harapan tinggi kepada UMNO. Kita sebagai pemimpin parti yakinlah bahwa kita boleh jadi pemimpin yang adil dan boleh memimpin semua kaum dan bukannya Melayu sahaja,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.