Tiba Masanya Sekolah Satu Aliran Dibincang Secara Serius Demi Perkukuhkan Perpaduan – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Usaha dalam menyatupadukan kaum di dalam negara ini menjadi sebuah negara bangsa sememangnya menghadapi kesukaran selagi Malaysia terus mengekalkan dasar pendidikan negara yang membenarkan wujudnya tiga jenis sekolah kebangsaan iaitu sekolah kebangsaan, sekolah rendah kebangsaan jenis Cina (SRJKC) dan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SRJKT), demikian jelas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut beliau, kini negara sudahpun merdeka selama 60 tahun, namun tidak ada seorang pun di antara Perdana Menteri yang mengubah dasar pendidikan negara  yang diasaskan sejak selepas merdeka kepada sekolah yang hanya mempunyai satu aliran, sepertimana yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew di Singapura dan Sukarno di Indonesia dengan konsep pancasila.

“Sebab itu kita mempunyai masalah sedikit dalam soal perpaduan kaum ini. Masalah yang timbul adalah disebabkan pemahaman tentang budaya hidup yang dipanggil silang budaya ini, tidak diterapkan di alam persekolahan rendah lagi.

“Di dalam negara kita yang majmuk ini, kanak-kanak di peringkat bawah umur 12 tahun, mereka ini masih lagi berada di sekolah aliran mengikut jenis kaum masing-masing terutama mereka yang tinggal di bandar dan pinggir bandar. Jadi, mereka susah untuk bercampur dengan kaum-kaum lain.

“Jika kaum Cina berpeluang untuk pergi ke sekolah SRJKC, mereka akan pergi ke sekolah tersebut. Begitu juga dengan kaum India, sekiranya mereka berpeluang untuk pergi ke sekolah SRJKT, mereka akan mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah tersebut. Dan majoritinya bangsa Melayu pula akan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan,” jelasnya yang juga merupakan bekas seorang guru.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 yang bersiaran secara langsung di laman facebook rasmi UMNO Online.

Mahdzir yakin, dasar pendidikan hari ini akan tetap diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini memandangkan parti-parti di dalam PH, seumpamanya Dap langsung tidak pernah dan tidak mahu untuk membincangkan soal sekolah satu aliran ini sebagai satu asas perpaduan di kalangan kaum di negara ini.

“Dap sebagai sebuah parti yang berkuasa di dalam kerajaan PH  langsung tidak mahu bercakap soal menyatukan pendidikan di negara ini. Dari dulu memang mereka tidak mahu. Sekarang Dap sudah menjadi kerajaan, lagilah mereka tidak mahu untuk membincangkan perkara ini.

“Mereka akan kata BN (Barisan Nasional) dulu tidak buat, masih lagi kekal dengan sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Dalam jawapan Menteri Pendidikan, Dr Mazlee juga berkata dia akan meneruskan dasar sekolah kebangsaan berasingan ini,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata, bahawa pada masa akan datang perlu adanya usaha untuk menjadikan sistem persekolahan satu aliran di negara ini demi untuk memperkukuhkan perpaduan di antara kaum melalui dasar pendidikan negara.

“Dalam melaksanakan perkara ini, perlu ada keberanian politik untuk pergi lebih jauh daripada apa yang diharapkan kerana dasar pendidikan negara yang membenarkan wujudnya tiga jenis sekolah kebangsaan ini tidak boleh pergi jauh dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa di negara ini.

“Saya bagi contoh, kalau anak-anak muda tidak faham tentang silang budaya seperti yang saya katakan di awal tadi, dan tidak dididik dengan silang budaya ini sejak dari peringkat sekolah rendah lagi, mereka akan mudah menghina kaum lain atau agama kerana mereka tidak pernah dididik dengan perasaan persahabatan dan perpaduan sesama manusia sejak dari kecil lagi.

“Jadi sebab itu hari ini, kita dapat lihat di dalam media sosial betapa kegiatan untuk menghina kaum dan agama ini begitu selamba dibuat sedangkan perbuatan mereka itu telah mencetuskan satu suasana yang tidak sihat di dalam masyarakat di negara ini.

“Jadi bagi saya sudah sampai masanya masyarakat Melayu, India dan Cina untuk bergabung di bawah satu bumbung pendidikan yang bakal melahirkan generasi yang bersatu padu dan lebih memahami adat, budaya dan agama antara satu sama lain,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.