PRK Port Dickson: Pengundian 13 Okt, Penamaan Calon 29 Sept

PUTRAJAYA, 20 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson, Negeri Sembilan diadakan pada Sabtu, 13 Okt.

SPR juga menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 29 Sept (Sabtu) manakala hari pengundian awal pada Selasa, 9 Okt.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood yang mengumumkan perkara itu pada sidang media hari ini, berkata tempoh berkempen bagi PRK berkenaan ialah selama 14 hari.

“PRK Port Dickson melibatkan peruntukan RM3.6 juta kerana ia melibatkan kawasan yang luas dan Parlimen Port Dickson melibatkan lima Dewan Undangan Negeri di bawahnya,” katanya selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Parlimen Port Dickson di ibu pejabat SPR di sini.

Othman berkata SPR meletakkan sasaran 70 peratus daripada 75,700 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Port Dickson keluar mengundi pada PRK itu nanti.

Ini adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. Anwar baru-baru ini juga menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.

Dalam PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Othman berkata permohonan undi pos luar negara dan dalam negara dibuka pada hari ini dan ditutup pada 29 Sept.

Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Menurutnya SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Port Dickson dan beliau akan dibantu oleh sembilan Penolong Pegawai Pengurus.

“SPR juga bersetuju menubuhkan lima Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

Bagi PRK itu, seramai 1,403 petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil dengan 39 buah pusat mengundi yang mengandungi 171 saluran akan digunakan berbanding 145 saluran mengundi dibuka pada PRU14, katanya.

Othman berkata SPR akan meneruskan penambahbaikan dua saluran khusus untuk pengundi yang berumur 60 tahun ke atas, memanjangkan tempoh pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang dan menambah saluran mengundi di pusat mengundi yang mempunyai jumlah pengundi terlalu ramai.

“Satu lagi penambahbaikan ialah penambahan petak undi dalam tempat mengundi kepada tiga petak undi di mana amalan sebelumnya ialah dua petak sahaja,” katanya.

Othman berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK kali ini adalah sehingga Suku Kedua Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Sept 2018.

Daftar pemilih yang mengandungi jumlah keseluruhan 75,770 orang pemilih berdaftar itu terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,286 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

Bagi menggalakkan pengundi di Port Dickson supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran termasuk media elektronik, media sosial, media cetak dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik, katanya.

Othman berkata SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

SPR turut menawarkan pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana badan yang berminat untuk menjalankan pemerhatian ke atas perjalanan proses PRK Port Dickson mulai hari penamaan calon sehingga keputusan diumumkan, katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.