Pertikai Zahid…? Zaman Dr Mahathir Dulu Lagi Teruk Berpecah – Azian

IPOH, 20 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Azian Osman membidas segelintir pendapat yang mempertikaikan prestasi Presiden parti sekarang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi rentetan keluarnya lima orang ahli Parlimen dari UMNO.

Menurut Azian pada ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden parti, itulah zaman ‘hitam’ yang dialami oleh parti.

“Ada orang kata Presiden UMNO sekarang teruk sampai lima orang MP (ahli parlimen) dah keluar parti.

“Pada saya zaman Tun Mahathir dulu lagi teruk, akhir 80-an pecah UMNO, berapa ramai menteri letak jawatan ikut Ku Li (Tengku Razaleigh), akhir 90-an berapa ramai keluar parti ikut Anwar? Masa tu Tun Mahathir tengah ada kuasa tu!!!

“Sekarang dengan kuasa yang ada susah juga nak tarik orang-orang UMNO ini, yang keluar terlompat-lompat tu ada yang tahu sebab-sebab sebenarnya tapi tak payah hebah-hebahkanlah,” tegasnya dalam entri terbaharu di laman facebooknya.

Untuk rekod, perebutan jawatan presiden parti antara Tun Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah menjadi sejarah hitam parti hingga menyebabkan UMNO diharamkan.

Begitu juga ketika krisis antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar selaku timbalannya hingga menyebabkan Anwar dilucutkan jawatan serta politik negara teruk bergolak.

Semalam, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar parti, mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed di mana kedua-duanya merupakan ahli MKT UMNO dan bekas menteri kabinet.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga telah keluar parti menjadi bebas.

Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur itu berpandangan mereka yang telah keluar adalah mereka yang telah mengkhianati parti.

“Apa pun alasan rekaan mereka, mereka telah mengkhianati parti yang telah memilih mereka jadi calon mewakili parti dan mandat yang diberi oleh pengundi-pengundi mereka,” katanya. – Media UMNO