Najib Didakwa Terbabit Pengubahan Wang Haram Lebih RM4.3 Bilion

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 21 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion.

Bagaimanapun, Najib mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM2,081,476,926 daripada akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 22 Mac hingga 10 April 2013.

Bagi pertuduhan ke-10, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan memindahkan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM652,600,000 daripada akaun AmIslamic Bank bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, beliau didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram, masing-masing RM20,000,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571854 untuk pembayaran kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan RM100,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571857 untuk pembayaran kepada UMNO Bahagian Batu Kawan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini pada 2 Ogos dan 7 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-13, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM246,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571858 untuk pembayaran kepada Lim Soon Peng, 63, di tempat sama pada 7 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-14, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM2,000,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571859 untuk pembayaran kepada ORB Solutions Sdn Bhd di tempat sama pada 12 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-15, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM303,000 melalui cek bernombor 571856 untuk pembayaran kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd di tempat yang sama pada 14 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-16 hingga ke-19, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM1,381,750,000 daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 15 Ogos hingga 23 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-20 dan ke-21, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM162,436,711.87 daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam satu lagi AmIslamic Bank miliknya bernombor 2112022011880.

Kesalahan dilakukan di tempat sama pada 27 Ogos dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.