Kerajaan Persekutuan Diminta Pertimbang Pembangunan Pahang Skills

KUANTAN, 20 Sept – Kerajaan persekutuan diminta agar dapat mempertimbangkan permohonan pembangunan prasarana Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) yang terletak di Semambu di sini.

Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob berkata projek yang dirancang itu akan memberi kemudahan dan keselesaan bukan sahaja kepada pelajar dan pengajar, namun juga untuk penduduk berhampiran Pahang Skills.

“Semua kelulusan bagi membina bangunan dan infrastruktur ini tertakluk di bawah kelulusan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan saya akan cuba membawa perkara ini kepada pemerhatian pihak sewajarnya untuk pertimbangan,” katanya.

Zulkifli berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kecemerlangan Pelajar Pahang Skills 2018 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Pahang Skills Datuk Mas’ut Awang Samah dan Pengarah Eksekutifnya Suris Mihat.

Pada majlis itu, 69 pelajar menerima sijil anugerah kecemerlangan masing-masing.

Beliau berkata terdapat tujuh perancangan projek pembangunan prasarana Pahang Skills antaranya membina Taska Pahang Skills serta Pusat Kelas Fardu Ain kepada anak warga Pahang Skills.

“Cadangan membina taska juga selari dengan seruan kerajaan supaya semua majikan menyediakan kemudahan itu di premis mereka untuk kemudahan pekerja khususnya golongan wanita,” katanya.

Sementara itu, Mas’ut berkata pihaknya berharap kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan bantuan membina kompleks penginapan pelajar yang dirancang di tapak tanah kosong berhadapan Pahang Skills.

“Tanah itu kepunyaan Pahang Skills. Kemudahan asrama apabila siap kelak akan memudahkan pelajar memandangkan mereka kini perlu berulang alik dari asrama di Indera Mahkota yang disewa daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP),” katanya.

Mas’ut memberitahu pada masa ini, terdapat 600 pelajar sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di bawah seliaan 200 kakitangan termasuk tenaga pengajar.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.