Shamsul Anuar Dan Tiga Ahli Parlimen BN Nafi Bakal Keluar Parti Seperti Dalam Senarai Yang Tersebar   


KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bersama tiga ahli Parlimen UMNO daripada Parit, Tasek Gelugor dan Jelebu hari ini masing-masing menafikan berita yang tersebar menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ kononnya mereka adalah antara ahli parlimen yang bakal mengambil langkah keluar meninggalkan parti.

Menurut Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong,  kesetiaan beliau tetap pada parti dan apa yang diviralkan tidak benar sama sekali.

“Sesungguhnya demi agama, bangsa dan negara kesetiaan saya tetap bersama UMNO. Apa yang diviralkan tidak benar sama sekali,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria pula berkata penyebaran menerusi medium berkenaan adalah tindakan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam usaha menjadikan parti UMNO hari ini kelam-kabut dan terus terumbang-ambing.

Menurutnya beliau akan terus setia dan akan terus mendokong perjuangan parti kerana yakin dengan perjuangan UMNO untuk terus bergerak ke depan sebagai sebuah parti yang menjaga kepentingan rakyat serta negara.

“Saya tidak akan mensia-siakan undi dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Apa yang diharapkan rakyat di luar sana terutama kalangan ahli, penyokong serta pendokong parti tidak mudah mempercayai bulat-bulat perkara yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada masa yang sama turut menafikan dengan tegas berita yang mula tersebar menerusi media sosial kononnya beliau antara salah seorang yang tersenarai akan meninggalkan parti dan menyifatkannya sebagai berita yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menafikan siaran ‘WhatsApp’ yang berlegar hari ini dari pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai nama saya dalam senarai yang akan keluar UMNO. Saya tidak tahu menahu tentang perkara ini dan tetap kekal dalam perjuangan parti UMNO,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan tindakan-tindakan berkenaan diyakini hanya untuk meletakkan parti di dalam suasana yang tidak menentu apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO 2018 akan diadakan pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Hj Jalaluddin Hj Alias yang dikatakan turut tersenarai di dalam mesej berkenaan menegaskan sama sekali tidak pernah merancang, bercadang, berhasrat atau memikirkan mengenai tindakan sedemikian.

“Sebagai seorang pemimpin yang lahir dan melalui perjuangan dalam kilang UMNO serta memenangi kerusi Parlimen Jelebu dalam PRU-14 atas tiket BN, maka saya tidak akan sekali-kali meninggalkan parti keramat UMNO.

“Di samping itu, saya juga berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan parti dalam apa juga keadaan sekali pun. Saya tidak akan sama sekali menjadi seorang yang bacul atau dayus berpolitik dengan tindakan meninggalkan parti UMNO yang telah berjasa kepada rakyat sejak 72 tahun lalu hanya semata-mata BN tewas dalam PRU-14.

“Sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, saya optimis melihat bahawa UMNO berpeluang cerah untuk kembali menawan hati rakyat, apatah lagi di saat-saat kerajaan PH sekarang dilihat gagal membela rakyat sepenuhnya. Akhir sekali, saya berharap ahli-ahli UMNO di seluruh negara bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tersebar di media sosial,” katanya.

Hari ini tersebar menerusi ‘WhatsApp’ kononnya mereka adalah antara ahli parlimen yang bakal mengambil langkah keluar meninggalkan parti.

Semalam, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamed dan tengahari tadi Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar daripada UMNO. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.