Shahidan Dan Zahidi Terus Setia Bersama UMNO

KANGAR 19 Sept. – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin akan meneruskan perjuangan bersama UMNO sekali gus menafikan desas-desus bahawa mereka adalah antara pemimpin yang akan keluar parti itu.

Dalam masa, mereka juga secara ‘sinis’ mengucapkan selamat maju jaya kepada mana-mana pemimpin yang akan mengambil keputusan keluar daripada UMNO selepas puluhan tahun berjuang dalam parti keramat orang Melayu itu.

Zahidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan tidak akan keluar daripada UMNO dan dakwaan kononnya beliau adalah antara 17 pemimpin yang akan mengikut jejak langkah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman adalah tidak benar.

“Kita tidak nafikan apabila Mustapa dan Anifah keluar parti, membuatkan ahli dan pemimpin UMNO kecewa. Ini kerana kedua-dua pemimpin itu telah meninggalkan parti yang telah banyak berjasa kepada mereka.

“Menerusi UMNO lah, mereka diberikan peluang memegang beberapa jawatan penting sebelum ini.

“Adakah mereka tidak berasa berdosa dengan tindakan ini (keluar parti). Langkah ini adalah contoh tidak baik untuk kepemimpinan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO kerana hala tuju yang diambil oleh UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang dipegangnya.

Hari ini, Anifah yang juga bekas Menteri Luar pula mengambil tindakan sama dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan ahli UMNO berkuatkuasa serta-merta

Berikutan itu, tular sebanyak 17 nama Ahli Parlimen UMNO termasuk beberapa pemimpin berpengaruh lain seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Idris Jusoh, Shahidan dan Zahidi.

Sementara itu, Shahidan yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, tiada keperluan untuk beliau keluar daripada UMNO dan mengikut jejak langkah mereka yang meninggalkan parti.

Tegasnya, beliau akan terus setia bersama parti itu meskipun desas-desus mengatakan akan ada lagi pemimpin UMNO akan keluar parti.

Beliau turut menggesa mereka yang keluar UMNO, supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana dipilih atas tiket UMNO dan BN.

“Saya juga ingin ingatkan agar, kalau hendak keluar, keluar sahajalah dan tidak perlu komen pasal UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.