Ahli UMNO Perlu Bertenang, Pemimpin Datang dan Pergi Tapi Perjuangan Perlu Diteruskan

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meminta ahli-ahli nggota UMNO untuk bertenang serta menghormati keputusan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustafa Mohamed yang mengisytiharkan keluar dari parti semalam.

Beliau juga meminta anggota UMNO agar tidak melemparkan sebarang cemuhan terhadap bekas menteri tersebut berikutan keputusan yang diambilnya.

“Walaupun berat untuk menerima berita ini, namun mengenali nilai perjuangan tokoh ini mungkin ada sebab yang berat dan sukar untuk beliau jelaskan buat masa ini.

“Saya sarankan setiap warga parti agar bertenang, hormati keputusannya dan usah mencemuh beliau,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Menurut Asyraf Wajdi, agenda pengukuhan dan reformasi UMNO harus diteruskan.

Jelas beliau, sejak awal penubuhan UMNO, pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan tetap diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan suci.

“Tok Pa ialah mentor, guru dan bagaikan bapa dalam politik UMNO di Kelantan hampir sedekad lalu.

“Beliau sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi pemimpin parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, kesederhanaan dan kesetiaan kepada perjuangan.”

Malah katanya, Mustafa turut membantu dan mendorongnya bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Jun lalu bagi membawa agenda reformasi dalam UMNO. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.