MCA, Komponen BN Lain Usah Bimbang, Hubungan UMNO – Pas Kebaikan Untuk Semua
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerjasama antara UMNO dan Pas akan memberikan kekuatan kepada kuasa politik orang Melayu yang akan memberikan kebaikan bukan hanya kepada bangsa Melayu sahaja, tetapi kepada keseluruhan rakyat di negara ini.
Ini kerana menurut beliau, walaupun UMNO sebuah parti yang berasaskan bangsa Melayu, namun telah terbukti bahawa parti ini tidak mengamalkan sikap rasis, di mana semua kaum mampu untuk menikmati peluang dan kemakmuran yang sama selama 61 tahun UMNO memegang tampuk pemerintahan negara.
“Dan Pas pula bukanlah parti Islam yang ekstrem seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Saya yakin rakyat Malaysia akan menerima kita terutama pengundi bukan Melayu kerana kita mampu lebih baik daripada Pakatan Harapan.
“Apatah lagi rakyat nampaknya sukar menerima apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang diberikan mandat memimpin ketika ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Jelasnya lagi, kerjasama yang berlaku antara UMNO dan Pas ini lahir dari suasana politik baru yang menuntut agar wujudnya satu kerjasama di antara dua buah parti terbesar Melayu untuk berjuang dalam satu matlamat demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair.
“Saya fikir kita perlu akui bahawa keadaan dan landskap politik telah berubah. Maka kita mesti memahami perubahan yang berlaku ini terutama kesan selepas PRU14 lalu.
“Jika kita tidak menyesuaikan diri dengan perubahan ini, bimbang ia akan menyukarkan kita menghadapi keadaan yang semakin mencabar”, katanya.
Perubahan pola pengundian dan kehendak serta tuntutan rakyat yang banyak berubah ini juga tambah beliau perlu disesuai dengan perubahan dalam parti.
“Kita perlu mendepani semua ini dengan penuh bijaksana dan berhemah.
“Saya yakin UMNO memahami dan menyedari semua ini. Sudah pasti asalkan prinsip dan falsafah perjuangan parti tidak berubah, saya percaya pimpinan dan ahli UMNO serta rakyat di pelbagai peringkat akan menyokong sebarang usaha ini,” jelasnya.
Bagaimanapun Anuar amat memahami kegusaran dan kebimbangan parti komponen BN seperti MCA dengan kerjasama antara UMNO dan Pas ini.
Namun katanya, adalah terlalu awal untuk memberikan ulasan panjang berhubung isu ini yang dibangkitkan oleh MCA baru-baru ini.
“Apapun, MCA tidak seharusnya bimbang dengan perkembangan hubungan UMNO – Pas kerana hakikatnya akan berlaku peningkatan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
“Keadaan ini dengan sendirinya akan memberikan kebaikan bukan hanya pada UMNO, Pas sebaliknya juga kepada MCA serta rakan parti yang lain.
“Saya tidak menyalahkan MCA di atas kebimbangannya, lantaran mereka tidak mendapat gambaran yang sebenar. Kerjasama politik yang diterokai oleh UMNO dan Pas ini pun masih di peringkat dasar atau masih awal namun telah begitu baik berbanding dulu,”katanya lagi.
UMNO juga menurut Shamsul, akan memberi penjelasan, berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada MCA, juga kepada MIC dan PBRS dari semasa ke semasa.
“Kita harap semua menyakini bahawa, perjuangan menegakkan keadilan sejagat dan menyantuni kemajmukan masyarakat, akan sentiasa dijunjung dan dimartabatkan UMNO dan ia telah buktikan sejak sekian lama.
“UMNO adalah parti yang sememangnya membela kepentingan Melayu dan Bumiputera. Malah sejarah membuktikan UMNO tidak pernah mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara.
“Dengan pengalaman bersama sejak sekian lama, UMNO yakin dan percaya semua pihak perlu lebih terbuka dan dalam masa yang sama meneruskan dasar muafakat yang telah diamalkan. Ini adalah formula yang terbaik bagi mengelakkan sebarang tanggapan buruk dan spekulasi keterlaluan,” tegasnya.-MediaUMNO