Presiden Pemantau mahu saman Ketua Polis Dang Wangi

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Presiden Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam akan mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah susulan insiden kekecohan perhimpunan pada 7 September lalu.

Menurut Lokman, berikutan kekecohan yang tercetus itu, pihaknya telah membuat laporan polis selain laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Gesaan sebelum ini supaya Ketua Polis Daerah Dang Wangi meletak jawatan mungkin tidak akan diambil perhatian, jadi kami akan saman dan saya secara peribadi telah menyediakan peguam untuk tindakan undang-undang tersebut.

“Saya beranggapan beliau tidak ada pengalaman, malah telah meluru, menolak dan membuat provokasi terhadap kami yang menyebabkan keadaan pada masa itu jadi kucar-kacir,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Himpunan Anti-SST di sini hari ini.

Pada 7 September lepas, perhimpunan yang dinamakan ‘Majlis Pengebumian Institusi Peguam Negara’ di hadapan Kompleks Sogo di sini yang dianjurkan Pemantau bertukar kecoh selepas cubaan mereka untuk berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dihalang polis termasuk oleh Shaharudin. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.