Perhimpunan Agung UMNO 2018 Untuk Perjelas Kepimpinan Parti Di Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Persidangan Agung UMNO 2018 (PAU) merupakan persidangan yang penting buat UMNO selaku parti pembangkang dan persidangan ini mustahak untuk menentukan hala tuju yang jelas kepada kepimpinan di akar umbi, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki.
Beliau memaklumkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mengadakan persidangannya pada hari Sabtu, 29 September 2018 ini.
“Kita perlu memberikan ruang seluas-luasnya kepada warga parti untuk memberikan pandangan. Sebab itulah kita tidak ada sebarang halangan, tapisan atau sebarang bentuk pun untuk jurucakap yang mewakili negeri untuk bercakap… kita akan bebas.
“Saya telah sebut dalam mesyuarat tadi, jangan ada halangan bagi jurucakap untuk bercakap termasuk mengkritik kepimpinan saya sendiri kerana yang kami nak dengar soal rintihan dari akar umbi.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn hari ini.
“Persidangan kali ini akan dilaksanakan dalam bentuk yang berbeza, dan buat pertama kali ianya dianjurkan UMNO sebagai parti pembangkang, oleh itu beberapa perubahan format akan dilaksanakan antaranya tiada lagi usul bagi dasar kerajaan dan tempoh PAU turut dipendekkan kepada 2 hari sahaja (29-30 September 2018).”
Katanya, bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Persidangan akan melibatkan 37 orang kepimpinan Pemuda UMNO Pusat dan perwakilan 191 bahagian seluruh negara yang akan diwakili oleh 5 orang bagi setiap bahagian dengan jumlah perwakilan yang terlibat dijangka mencecah 1000 orang.
“Kami bukan pimpinan Pemuda UMNO yang baru kerana kami hanya menyambung rantaian, jaringan atau perjuangan kepimpinan pemuda-pemuda yang lama… jadi tiada yang baru kalau yang lama dikesampingkan.
“Pemuda UMNO turut menjemput Pemuda PAS, Pemuda Ikatan dan Pemuda komponen Barisan Nasional (BN) dan juga kompenan-kompena yang pernah bersama BN.
“Di samping itu, seluruh mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga akan dijemput dalam perasmian persidangan sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan.”
JADUAL PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
Jumaat -28 September 2018
Pendaftaran Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda & Puteri UMNO 2018
Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap UMNO
Sabtu – 29 September 2018
Upacara Menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa oleh YB Dato` Seri Presiden UMNO
Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Persidangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Pendaftaran Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2018
Pembentangan dan Persidangan & Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO
Ahad – 30 September 2018
Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2018