Kerjasama UMNO-Pas Demi Penyatuan Ummah, Bukan Percaturan Politik – Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa teras kerjasama antara UMNO dan Pas kali ini adalah demi penyatuan ummah dan bukan soal percaturan politik yang boleh menjerat kepada perebutan kuasa.
“Tuntutan agama Islam paling penting adalah soal penyatuan ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn hari ini.
Tegasnya, paling penting penyatuan ummah ini tidak sesekali memberikan isyarat untuk melakukan kezaliman atau memandang enteng kepada agama dan bangsa-bangsa lain.
“Ini adalah penyatuan akar yang meletakkan kita kepada negara bangsa itu sendiri. Buktinya apabila Melayu Islam itu kuat maka dengan sendirinya negara kita yang berbilang agama dan berbilang bangsa dapat dipertahankan.
“Inilah yang dapat dibuktikan oleh UMNO dalam menerajui Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun iaitu kita dapat hidup dengan aman dan stabil dengan kepelbagaian agama dan bangsa.
“Kita tidak memberikan apa juga isyarat dan mesej bahawa apabila kita bermuafakat maka kita akan melakukan suatu bentuk kezaliman, penindasan, eksploitasi atau mendominasi mana-mana agama atau mana-mana bangsa. Semua harus terikat kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menerima jawapan atau persetujuan daripada kepimpinan Pemuda Pas untuk hadir dalam Persidangan Agung UMNO 2018 (PAU) bagi Sayap Pemuda.
“Kita menyambut baik kerjasama antara UMNO dengan Pas dan pada persidangan kali ini kita telah menerima jawapan atau persetujuan daripada kepimpinan Pemuda Pas pusat seramai tujuh orang yang diketuai oleh ketua pemudanya sendiri untuk hadir.
“Untuk peringkat ini, kita bersetuju untuk wujudkan satu pasukan khas atau ‘task force’ yang mewakili pemuda untuk meneliti atau menilai soal kerjasama dengan lebih tuntas termasuk apa juga keputusan yang bakal kita capai dalam PAU,” tambahnya lagi.
Maklum beliau, ‘task force’ tersebut akan dipengerusikan oleh Naib Ketua Pemuda iaitu Saudara Shahril Sufian Hamdan yang akan mengetuai bagi memperhalusi soal kerjasama UMNO-Pas.
“Kita harus mengambil kira pandangan dan suara hati akar umbi. Kita nak selesaikan banyak isu-isu yang berbangkit di peringkat akar umbi maka kita tak boleh nak dibuat dengan hanya satu dua pertemuan sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata, untuk permuafakatan UMNO dan Pas, tentu akan ada yang tidak berpuas hati di peringkat akar umbi.
“Kita tak boleh mengharapkan satu keajaiban setelah 60 tahun kita berpecah. Di peringkat akar umbi tentu ada yang tak selesa. Kita akan ambil kira semua pandangan.
“Niat kita soal penyatuan ummah, soal cara dan bagaimana akan dilihat untuk diperhalusi,” katanya.
Jelas beliau, apa yang disepakati, UMNO dan Pas setuju bahawa harus dimulakan satu langkah yang positif ke arah penyatuan ummah yang lebih bersifat holistik dan bukan hanya dalam ruang lingkup pilihan raya kecil siapa bertanding atau mahu berfikir siapa calon kerana banyak lagi perkara perlu diambil kira. – MediaUMNO