Kerjasama UMNO – Pas Satu Landskap Politik Baru Selepas Enam Dekad – Zahid

KUALA TERENGGANU, 15 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada pimpinan parti Pas kerana buat kali pertama menjemput kepimpinan tertinggi UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan ke-64 parti tersebut yang diadakan di Stadium Tertutup Komplek Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Zahid, kehadiran kepimpinan UMNO di Muktamar Pas kali ini telah melakar sejarah baru dalam landskap politik tanahair.

“Biarpun lebih enam dekad UMNO dan Pas menghadapi permasalahan dari segi pertembungan di akar umbi.

“Biarpun kita pernah berada dalam satu saf sebagai kerajaan bersama Pas pada tahun 1974, kini kita bersama-sama dengan Pas pula sebagai parti pembangkang”, katanya.

Justeru jelas beliau UMNO akan menjalinkan kerjasama rasmi dengan Pas di dalam kepimpinan di dalam blok parti-parti pembangkang.

Tegasnya ini penting kerana hakikatnya harus diakui bahawa bukan sahaja UMNO, tetapi rakan-rakan di dalam komponen Barisan Nasional (BN) telah menukar set minda dan cara bertindak sebagai pembangkang.

“Maka apa yang telah terjalin hari ini antara UMNO dan Pas adalah dibentuk di dalam kerangka parti-parti pembangkang. Maka atas premis itu amat merasa dihargai apabila kita dijemput untuk menyertai Muktamar Pas ini.

“Dalam masa yang sama, saya juga telah menghulurkan jemputan kepimpinan tertinggi UMNO kepada Presiden Pas dan kepimpinan tertinggi Pas untuk hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 30 September ini. Saya yakin, kepimpinan sayap-sayap UMNO juga telah menjemput kepada rakan-rakan sayap di dalam Pas,” jelasnya.

Apa yang penting kata Zahid, kebersamaan ini adalah mengikut garis isu perjuangan yang mempunyai kesamaan di antara UMNO dan Pas.

“Walaupun UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama atas dasar Islam dan bangsa Melayu, namun hakikatnya kita tidak pernah tidak menghormati agama-agama lain dan begitu juga dengan kaum-kaum lain di dalam negara ini.

“Jalinan kerjasama ini berlaku adalah disebabkan faktor persamaan di dalam perjuangan antara UMNO dan Pas ini dan saya, selaku presiden mengambil peluang ini untuk bersama-sama kepimpinan Pas hari dalam satu episod baru politik di negara ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah di kalangan parti komponen BN seperti MIC dan MCA kerana kepimpinan kedua-dua parti tersebut memahami bahawa kerjasama ini adalah satu kerjasama politik.

“Saya kerap bertemu dengan kepimpinan MCA dan MIC di mana kali terakhir saya bertemu mereka di PRK Balakong tempoh hari. Saya tidak nampak sebarang masalah akan timbul sekiranya UMNO terus memperkukuhkan jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Kepimpinan MCA dan MIC sangat matang dan bersikap rasional dan saya tidak nampak ada sebarang masalah akan timbul sekiranya UMNO terus memperkukuhkan jalinan kerjasama antara parti ini dan Pas pada masa akan datang ini,” katanya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.