Jawatankuasa Kerja UMNO Kelantan Ditubuhkan, Teliti Aspek Kerjasama Ikut Acuan Politik Negeri

KOTA BHARU, 15 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Jawatankuasa Kerja Perhubungan UMNO Kelantan akan ditubuhkan bagi meneliti aspek-aspek kerjasama mengikut acuan politik di negeri berkenaan.

Menurut beliau langkah seterusnya adalah perbincangan secara rasmi dengan pihak Pas dan kerajaan negeri Kelantan bagi menterjemahkan bentuk kerjasama kerana di peringkat nasional kerjasama tersebut telah terjalin secara rasmi sebagai pembangkang.


“Jadi untuk Kelantan ini sebagai sebuah kerajaan negeri maka mungkin ada beberapa pengubahsuaian yang akan dilakukan. Ini bukan hanya untuk jangka pendek tetapi untuk jangka panjang kerana kita tahu bentuk kerjasama ini amat-amat diperlukan.

“Selama lebih 60 tahun kita berperang sesama sendiri dan ketika ini ….pemimpin dan ahli diakar umbi supaya memahami hati nurani masing-masing sebagaimana kerjasama yang kita lakukan dalam Pilihan Raya Kecil di Selangor baru-baru ini” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas bersama UMNO Kelantan, di sini, hari ini.

Menjawab soalan terdapat dakwaan mengatakan kerjasama UMNO dengan Pas mengambarkan parti itu terdesak, Ahmad Zahid menegaskan perkara berkenaan bukan soal terdesak dan sebagainya namun ianya adalah realiti politik.

“….ini bukan soal terdesak atau sebagainya. Ini adalah realiti politik, kita merupakan parti pembangkang dan tidak ada sesiapa kecuali Allah swt yang boleh menyekat bentuk kerjasama antara parti-parti pembangkang di dalam satu gagasan.

“Ini kerana kita tahu bahawa banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat diselesaikan dan manifesto tidak dapat diterjemahkan pelaksanaanya dan tentunya rakyat mencari UMNO dan Pas untuk menyelesaikan permasalahan yang disebutkan tadi,” ujarnya.

Jawatankuasa Kerja UMNO Kelantan dipengerusikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Pengerusi UMNO negeri dan Ahli Parlimen Machang.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.