Pahang Serap 47 Kakitangan Jasa Yang Ditamatkan Khidmat

KUANTAN, 14 Sept – Kerajaan Negeri Pahang bersedia menyerap 47 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) termasuk lima pegawai di negeri ini yang ditamatkan khidmat.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata mereka akan diserapkan ke agensi atau jabatan yang bersesuaian, yang buat masa ini ia masih belum dimuktamadkan.

“Kita membantu mereka atas prinsip simpati kerana ada di antara mereka berusia hampir 50 tahun, ada yang masih mempunyai anak bersekolah selain menanggung hutang kereta dan rumah.

“Perkara ini dilakukan mengikut prosedur. Kita akan adakan sesi temuduga kerana apa yang boleh kita tawarkan mengikut keadaan semasa kewangan negeri mungkin kurang daripada apa diterima mereka di JASA,” katanya di sini, hari ini.

Wan Rosdy berharap kakitangan JASA terbabit dapat diserap ke dalam jawatan baharu mereka pada 1 Nov atau selewat-lewatnya pada pertengahan bulan itu, memandangkan beliau difahamkan tarikh akhir mereka ialah pada 15 Okt ini.

Beliau menambah persediaan untuk membantu kakitangan JASA di Pahang sudah dimulakan sejak kedengaran ura-ura perkhidmatan mereka akan dihentikan selepas berlaku perubahan pentadbiran negara.

“Kertas kerjanya sudah dibawa ke mesyuarat majlis Kerajaan Negeri, namun kita dimaklumkan mereka tidak jadi diberhentikan menyebabkan agenda itu tidak diteruskan.

“Tapi perkembangan terbaharu menyebabkan kita membuka semula kertas kerjanya supaya Kerajaan Negeri dapat membantu setakat mana yang termampu,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.