Wah… !! Semua Orang Disapu Bersih… Guan Eng Lepas Tapi Shafee Pula Didakwa


BATU PAHAT, 13 Sept – “Wah, hebat kerajaan Pakatan Harapan (PH),” kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai maklum balas berikutan Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Semua orang disapu bersih. Datuk Seri Najib mereka dakwa atas Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Kini giliran Tan Sri Mohammad Shafie pula atas akta yang sama. Kes Lim Guan Eng mereka gugurkan sepenuhnya,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman facebooknya hari ini.

Sehubungan itu beliau mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau ada tangan ghaib disebaliknya.

“SPRM tidak mahu lawan balikkah? Apakah tangan ghaib ada dibelakangnya?”

Katanya, dalam kepimpinan PH siapa sahaja penentang akan digerunkan dan ditakutkan.

“Ekonomi negara tidak berubah. Harga barang tetap mahal. Siapa melawan akan ditamatkan dan terbaru CEO FGV Holding Datuk Zakaria Arshad adalah mangsa baru. Zaman Malaysia gelap bermula,” tegasnya.

Dalam pendakwaan pagi tadi, Muhammad Shafee, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul tanpa menyatakan jumlah RM9.5 juta dalam penyata cukainya yang bertentangan dengan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dilaporkan, 3 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah melepaskan dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat.

Selain itu, sejak pentadbiran PH, siri-siri pengguguran kes-kes yang melibatkan pimpinan PH termasuklah Hassan Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang, Thomas Su Ahli Parlimen Kampar, R. Sivarasa Ahli Parlimen Sungai Buloh dan N. Surendan mantan Ahli Parlimen Padang Serai di samping aktivis PH seperti Ratu Naga dan Kartunis Zunar. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.