Rina Perlu Lantik Pengerusi MARA Boleh Atasi Rekod Terbaik Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Pelik juga apabila Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun yang tidak mempertahankan MARA ketika ada cadangan agensi itu dicarik-carikkan atau diletak di bawah beberapa kementerian, tiba-tiba bercakap soal integriti MARA yang tinggi.

Katanya, MARA tidak akan diterajui oleh orang seperti Tan Sri Annuar Musa sebaliknya di kalangan orang yang berkualiti dan professional, kononnya supaya agensi itu boleh dimartabatkan.

Ini lah padah jika mereka yang ubun-ubun masih lembut seperti Rina dilantik sebagai menteri yang belum membawa sebarang perubahan di kementeriannya walaupun sudah hampir empat bulan PH mentadbir.

Beliau sepatutnya tidak sedap mulut bercakap atau membuat kenyataan seolah-olah Anwar seorang yang tidak berintegriti sedangkan Ahli Parlimen Ketereh itu adalah yang bersungguh-sungguh menentang niat mahu mencarik-carikkan MARA.

Kerana penentangan beliau dan beberapa pemimpin UMNO lain, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya memutuskan semua yang berkaitan dengan MARA kekal di bawah satu kementerian – kementerian yang diketuai Rina.

Untuk pengetahuan Rina, apabila timbul isu pembelian asset MARA di luar negara, Annuar tidak teragak agak menyiasat secara dalaman, pergi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerah dokumen berkaitan pembelian hartanah tersebut.

Beliau juga membuat keputusan di dalam mesyuarat Ahli Majlis supaya audit bebas dilantik dan selain itu Anwar adalah Pengerusi MARA pertama tidak menduduki jawatan kuasa tender agensi itu serta tidak mencampuri urusan perolehan dan tender MARA.

Apabila difitnah hal penajaan bola, Annuar tidak teragak-agak meminta SPRM menyiasat malah pergi sendiri ke Ibu Pejabat SPRM walau tidak dipanggil.

Setelah disiasat, SPRM sahkan bahawa fitnah itu tidak benar malah pihak yang memfitnah telah memohon maaf secara rasmi kepadanya.

Untuk pengetahuan Rina juga, di bawah Annuar, MARA mencatat kewangan yang kukuh dan berjaya mewujudkan dana pendidikan RM1 bilion dan anak syarikat MARA khususnya PMB mencatat untung 180 peratus di bawahnya.

Ketika Annuar menjadi pengerusi juga, lebih 200,000 pelajar di bantu MARA setiap tahun dan di bawah Annuar kerana penetapan amalan integriti yang tinggi, agensi itu mendapat pengiktirafan akaun bersih ketua Audit Negara selama tiga tahun berturut turut.

Selain itu, Annuar juga mewujudkan unit integriti yang diketuai pegawai SPRM.

Justeru itu, rakyat pastinya berharap Rina sebagai menteri dapat melantik orang yang tidak seperti Annuar dan orang itu mestilah yang boleh mengatasi rekod dicipta Annuar di MARA.

Malangnya, sehingga kini beliau masih gagal menamakan individu bagi mengisi jawatan tersebut. –bnpportal.com

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.