Agong Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

PUTRAJAYA, 12 Sept – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan ulang tahun rasmi hari keputeraan baginda pada Ahad lalu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Dataran Pahlawan Negara pada 10.55 pagi disambut dengan nyanyian Negaraku bersekali dengan tembakan kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Mejar Mohd Asri Che Wil.

Pada masa sama, formasi terbang lintas hormat di ruang udara Putrajaya melibatkan lima helikopter ATM yang masing-masing membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai Mejar Narul Nizam Ismail.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai 28 pegawai dan 550 anggota lain-lain pangkat ATM yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Mohd Radzi Othman.

Perbarisan selama hampir sejam itu turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya dengan persembahan rangkaian lagu-lagu patriotik.

Istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong yang melibatkan Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM berlangsung dengan penuh istiadat dalam tempo kawad perlahan dan cepat.

Istiadat diakhiri dengan laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa.

Sebelum berangkat, baginda sekali lagi menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM bersekali dengan alunan lagu Negaraku.

Istiadat mengarak panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan tidak berbelah ATM terhadap Raja dan negara.

Panji-panji merupakan satu penghormatan negara yang dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong kepada rejimen dan kor semua pasukan ATM.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang mewakili Panglima Angkatan Tentera serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Komen Anda


2 months ago