Suasana Hari Mengundi Berjalan Lancar, Tetapi Perlahan
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Sepertimana pilihan raya kecil sebelum ini, suasana pada hari mengundi memperlihatkan senario yang cukup berbeza antara satu dengan yang lain. Mungkin faktor kawasan pilihan raya kecil didakan atau faktor lain yang mempengaruhi suasana tersebut. Begitu jugalah senario pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong hari ini.
Suasana biasa dapat dilihat di beberapa pusat pengundian seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sg Chua, SK Desa Baiduri, Dewan Orang Ramai Sg Chua, SMK Desa Serdang dan beberapa lagi pusat mengundi lain.
Perayu-perayu undi parti yang bertanding termasuk jentera MCA melaksanakan tugas mereka dalam suasana yang penuh harmoni.
Berteraskan kempen ‘Semak dan Imbang’, MCA yang pertama kali meletakkan calonya, Tan Chee Teong manakala PH meletakkan Wong Siew Ki bagi merebut kerusi Dun Balakong berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.
Di SJKC Sg Chua memperlihatkan barisan perayu undi MCA yang tidak lekang melaungkan kata-kata dan juga ungkapan dalam usaha menarik tumpuan para pengundi.
Baik muda dan berusia, masing-masing bersemangat dan saling membalas senyuman antara satu dengan yang lain baik dikalangan jentera pihak lawan yang turut berada di kawasan yang dibenarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).
SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Selangor. Hari mengundi awal telah berlangsung pada 4 September yang lalu.
Seramai 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong bagi penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 35,538 undi – MediaUMNO