Peratusan Undi Rendah Disebabkan Pandangan Pengundi

PETALING JAYA, 8 Sept – Peratusan keluar mengundi yang rendah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong adalah sebab pengundi berpendapat undi mereka tidak akan mengubah senario politik negara.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood berkata peratusan undi tidak rasmi bagi DUN Seri Setia dan Balakong masing-masing mencatatkan hanya 44 dan 43 peratus.

Katanya meskipun SPR membuat hebahan meminta pengundi keluar mengundi menerusi pelbagai medium termasuk menerusi media sosial dan media massa, namun cara itu dilihat tidak berkesan.

“Secara peribadi saya juga berpandangan pengundi dilihat tidak menunjukkan minat untuk keluar mengundi disebabkan baru empat bulan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

“Bagaimanapun selepas ini SPR akan teliti apa sebab utama peratus keluar mengundi pada hari ini sangat rendah,” katanya kepada pemberita di pusat penjumlahan undi bagi PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Peratusan keluar mengundi rasmi untuk kedua-dua DUN akan diumumkan dalam tempoh terdekat malam ini.

Sebelum ini, peratusan keluar mengundi paling rendah dicatat ialah ketika PRK DUN Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei 2009 sebanyak 46 peratus.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.