Kempen Hingga Saat Terakhir, Bukti Komitmen UMNO Pastikan Kemenangan Calon Pas Di DUN Seri Setia

PETALING JAYA, 8 Sept- UMNO terus membuktikan komitmen dalam membantu kemenangan calon Pas di Seri Setia sehinggalah ke hari pengundian yang berlansung hari ini, sekaligus memperlihatkan wujudnya kerjasama yang erat di antara UMNO dan Pas dalam situasi politik baru negara hari ini, demikian menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri.

Beliau yang ditemui ketika hadir untuk melawat pusat pengundian di Seri Setia berkata, sejak dari awal kempen sehinggalah ke hari terakhir ini, UMNO tetap menjalankan gerak kerja kempen untuk memastikan calon Pas menang di pilihanraya kecil DUN Seri Setia ini.

“Kita bukan hanya sekadar memberikan laluan kepada Pas untuk bertanding di DUN ini, malah kita juga turun padang sejak hari penamaan calon sehingga ke hari pengundian ini bagi membuktikan komitmen kita untuk memastikan kemenangan calon Pas di DUN ini.

“Komitmen kita melalui kerjasama politik antara UMNO dan Pas ini telah kita buktikan dan ini merupakan satu perkembangan yang baik dan amat-amat positif demi untuk memperlihatkan senario baru politik umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau meluahkan keyakinan berhubung kemenangan calon Pas melalui respon yang diperolehi daripada penduduk di kawasan ini yang memperlihatkan sokongan terhadap Dr Halimah Ali dalam pilihanraya kecil kali ini.

“InsyaAllah, sepanjang tempoh berkempen sebelum ini nampak seperti gelombang rakyat lebih ke arah Pas dan saya harap gelombang tersebut dapat diterjemahkan ke peti undi untuk memastikan kemenangan calon Pas dalam PRK kali ini,” ujarnya.

Selain daripada Datuk Ismail Sabri, turut kelihatan turun padang pada hari pengundian di DUN Seri Setia hari ini ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan ahli jawatankuasa Wanita UMNO bersama-sama dengan Muslimah Pas.

Setakat ini, tidak ada sebarang kekecohan yang dilaporkan berlaku di sepanjang tempoh pengundian yang berlangsung bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang ini.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang besar di kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M.Haniff dengan mendapat 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperolehi 9,878 undi, calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas S. Vigneswaran (217).-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.