Calon MCA PRK Dun Balakong Luang Masa Untuk Mengundi

BALAKONG, 8 Sept – Calon MCA Tan Chee Teong meluang masa pagi ini untuk mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Batu 11, Cheras.

Anak jati Balakong itu tiba di saluran enam tersebut pada 9.15 pagi bersama isteri Connie Chin ,38, bapa Tan Kim Huar ,66, dan ibunya Lee Saw Wan, 62, yang turut mengundi di pusat pengundian sama.

Chee Teong kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum sepanjang berada di pusat pengundian itu.

“Saya berasa sungguh gembira dan teruja kerana buat pertama kalinya dapat melihat nama saya tertera di atas kertas undi,” katanya.

Turut hadir meninjau perjalanan pengundian di pusat tersebut ialah calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki.

Wong yang tiba pada 9.30 pagi turut bersalaman dengan Tan dan pengundi lain sebelum meninggalkan lokasi 20 minit kemudian.

“Saya tengok dalam peti undi ada banyak kertas undi walaupun sekarang masih pagi dan ini berbeza dari apa yang saya jangkakan,” katanya yang berpuas hati dengan kelancaran perjalanan pengundian hari ini.

PRK yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan dengan Wong itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Pada PRU14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

Dalam pada itu kehadiran seorang pengundi ‘istimewa’ yang memiliki tubuh badan kerdil, Shu Fang, 25, turut mencuri tumpuan di pusat pengundian itu.

“Saya harap keputusan PRK pada hari ini akan membawa kehidupan yang lebih baik kepada penduduk Balakong,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.