PRK DUN Balakong: MCA Yakin Dapat Undi Melayu Dan India

KUALA LUMPUR, 7 Sept – MCA yakin parti itu tetap akan mendapat undi kaum Melayu dan India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong berdasarkan kepada aktiviti serta penyaluran bantuan tanpa mengira kaum yang dilaksanakan selama ini.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu memperjuangan keharmonian kaum sejak ditubuhkan pada tahun 1949 dan bukan berasas kepada satu bangsa semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan pihak tertentu yang mengatakan MCA tidak akan mendapat undi kaum Melayu tanpa sokongan kuat daripada UMNO dan PAS.

“Kami adalah sebuah parti bebas dan boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang sama dalam memperjuangkan keharmonian kaum,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan MCA PKR DUN Balakong, dekat sini, semalam.

Terdahulu, Liow menerima kunjungan daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan lawatan ke bilik operasi tersebut.

PRK DUN Balakong diadakan Sabtu ini berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas dan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon BN,Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.