PRK Dun Balakong, Dun Seri Setia Berlangsung Serentak Esok

SHAH ALAM, 7 Sept – Seramai 50,692 pemilih berdaftar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan 62,160 pengundi di kawasan DUN Balakong akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada pilihan raya kecil (PRK) esok, selepas 21 hari berkempen.

Pusat mengundi akan dibuka mulai 8 pagi sehingga 5.30 petang. Bagi DUN Seri Setia, sebanyak 18 pusat mengundi dengan 115 saluran disediakan manakala DUN Balakong membabitkan 6 pusat mengundi dengan 129 saluran.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi di Seri Setia hujan manakala petang diramalkan cerah, sementara di Balakong cuaca diramalkan mendung pada sebelah pagi namun cerah pada sebelah petang.

PRK berkembar ini merupakan PRK kedua yang dijalankan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas. PRK pertama telah berlangsung di Sungai Kandis, yang juga DUN di negeri Selangor, pada 4 Ogos.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar dan Dr Halimah Ali daripada PAS. Halimey dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Jalan PJS 10/11 Petaling Jaya sementara Dr Halimah bukan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

Bagi PRK Balakong, calon PH Wong Siew Ki akan berdepan calon MCA Tan Chee Teong. Tan akan mengundi di SJKC Pekan Batu 11 manakala Wong adalah pengundi di DUN Seri Kembangan.

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 50,692 adalah pemilih biasa, 2,770 pemilih awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daripada 53,492 pemilih berdaftar itu, 49.58 peratus adalah pengundi lelaki dan 50.42 peratus pengundi wanita.

Dari segi komposisi kaum pula, 54.02 peratus pengundi berdaftar di DUN itu terdiri daripada kaum Melayu, 24.34 peratus kaum India dan 19.75 peratus kaum Cina.

DUN Balakong mempunyai 62,219 pengundi berdaftar dengan 62,160 daripadanya adalah pengundi biasa, 31, pengundi awal dan pengundi tidak hadir luar negara seramai 28 orang.

Hampir 60.8 peratus daripada jumlah pengundi di Balakong ialah kaum Cina diikuti kaum Melayu (29.3 peratus) dan kaum India (8.9 peratus). Kaum lain mewakili hampir satu peratus daripada kesemua pengundi yang didaftarkan.

Pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 4 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus pada kedua-dua PRK itu yang melibatkan peruntukan RM3.09 juta.

Untuk DUN Seri Setia, kesemua peti undi kemudian akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Sementara itu, pusat penjumlahan rasmi undi bagi DUN Balakong akan diadakan di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

SPR menjangkakan keputusan diumumkan seawal 9 malam dan paling lewat pada 10 malam.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Ng daripada DAP yang bertanding atas tiket PKR mengalahkan dua pencabarnya, Lim Chin Wah daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

Shaharuddin daripada PKR pula mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.