Perlantikan Presiden UIAM Hanya Perlihat Kegagalan Berterusan Maszlee Sebagai Menteri

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, perlantikan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah sesuatu yang tidak wajar kerana beliau bukanlah seorang pentadbir yang mempunyai kelayakan atau rekod pentadbiran cemerlang yang mengagumkan.

Jelas beliau, ini dapat dilihat apabila dalam tempoh 100 hari pertama memegang jawatan Menteri Pendidikan, Maszlee sudah memperlihatkan ketidakupayaannya untuk memberikan kepimpinan yang profesional dan meyakinkan.

“Antara kegagalannya adalah apabila memulakan keseluruhan proses kritikal merombak dan menambah baik sistem pendidikan negara dengan memfokuskan kepada penukaran warna kasut sekolah. Ini jelas memperlihatkan kegagalan beliau untuk meletakkan keutamaan kepada sesuatu isu.

“Selain itu beliau sering menukar-nukar kenyataan dan memberikan pendirian yang saling bercanggah dan berbeza terhadap isu pembiayaan Kerajaan kepada sekolah persendirian Cina yang menggambarkan beliau seorang yang tidak konsisten, cuai dan terlalu cepat melatah serta tunduk pada tekanan malah beliau juga mencadangkan agar penjualan nombor pendaftaran kenderaan sebagai cara mendapatkan dana universiti, yang menggambarkan beliau memandang remeh dan rendah fungsi sesebuah universiti,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Khaled, ramai yang berpendapat pelantikan diri sendiri Maszlee ini seolah-olah satu gerakan sistematik memastikan orang politik khususnya dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBBM) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai pengaruh dan cengkaman ke atas universiti serta institusi pendidikan di Malaysia.

“Walaupun kita mahu menutup sebelah mata dan menganggap beliau adalah seorang pentadbir Kerajaan yang mempunyai rekod yang cemerlang, adalah masih tidak wajar untuk seorang ahli politik yang mempunyai kepentingan politik menjawat jawatan di dalam pentadbiran universiti awam yang bebas.

“Ia berlawan dengan nilai-nilai ketelusan dan kebebasan akademik rentas kepartian dan ideologi”.

Menteri Pelajaran tegas Khaled lagi seharusnya berfungsi secara adil, saksama dan profesional kepada semua institusi pendidikan di negara.

Tambahnya pelantikan ini dengan sendirinya dikhuatiri akan membuka ruang berlakunya layanan berat sebelah dan tidak adil yang mungkin boleh memihak kepada UIAM berbanding institusi-institusi pendidikan lain di Malaysia.

“Sekalipun tidak akan berlaku, persepsi sedemikian akan terus wujud. Tidak dapat dinafikan yang konflik kepentingan antara kapasiti beliau sebagai Menteri Pelajaran dan Presiden UIAM boleh berlaku dalam susun atur sebegini,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan, perlantikan Maszlee ini juga bercanggah dengan janji dan komitmen PH yang mahu membebaskan universiti dan institusi pendidikan dari pengaruh politik malah Maszlee Malik sendiri pernah memberi jaminan akan membebaskan institusi pendidikan dari pengaruh politik.

“Jadi, penerimaan pelantikan ini hanyalah satu lagi bentuk keputusan yang terus menggambarkan kegagalan PH untuk berpegang kepada janji PRU-14 mereka dan menunjukkan sikap lidah bercabang Maszlee,” katanya. – MediauMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.