Gaji Minimum RM1,050 Tanda Ekonomi Negara Di Bawah PH Semakin Nazak – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Pengumuman Kerajaan menaikkan kadar gaji minimum negara dari RM1000 kepada RM1,050 atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Jan 2019 menunjukkan ekonomi negara sedang berada dalam keadaan tenat di bawah Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, ringgit merudum, pendapatan negara berkurangan, projek pembangunan banyak yang terhenti menandakan kita akan memasuki 2019 dalam keadaan ekonomi yang suram dan tidak memberangsangkan.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Barisan Nasional (BN) dan pakatan sama-sama berjanji untuk menyeragamkan gaji minimum di seluruh negara kepada RM1500.00.

“BN berjanji untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun. Oleh kerana BN menjanjikan secara beransur-ansur, sebahagian besar kesatuan sekerja menyokong dan merestui PH kerana mereka mengharapkan bulan jatuh ke riba dengan segera, namun akhirnya?”

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Kesatuan Sekerja yang menyokong PH dalam pilihan raya lalu juga lupa bahawa selama 22 tahun pemerintahan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah membenarkan Akta Gaji Minima digubal.

“Hanya pada ketika Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kerajaan memperkenalkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan pada 2012 kerajaan BN menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum.

“Kali pertama diperkenalkan kerajaan menetapkan gaji minimum Semenanjung Malaysia RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada kadar RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

“Jika sesiapa masih ingat ketika akta ini dibentangkan Tun Dr Mahathir ada membuat komen mengkritik pengenalan gaji minimum boleh menjejaskan pertumbuhan perniagaan,” terangnya menerusi kenyataan yang disisrkan dalam laman facebooknya.

Ujar beliau, pada 2016 kerajaan menguatkuasakan Akta Gaji Minimum baharu dengan kenaikan dari RM900 kepada RM1000 sebulan di Semenanjung; dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan dari kadar RM800 sebelum ini yang merupakan peningkatan antara RM100-120.

“Jika BN memerintah, kenaikan seterusnya adalah sekitar RM1200-1250 sebulan, tetapi sebilangan rakyat telah membuat keputusan mengundi PH dengan pelbagai janji mereka, maka bertabahlah para pekerja dan rakyat Malaysia.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.