Gaji Minimum: Pemimpin PH ‘Krik Krik Krik’ Hilangkan Diri

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Kemanakah perginya kini pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya cukup lantang kononnya membela rakyat, soal Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Adnan Seman.

Jelas Adnan, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) membentangkan belanjawan 2018 tahun lalu, PH juga membentangkan belanjawan mereka dan gaji minima RM1,500 disebut secara jelas.

“Selepas itu dinyatakan dalam janji-janji manifesto pilihan raya umum ke-14 PH. Malah pemimpin-pemimpin PH ketika itu bercakap cukup lantang mengkritik kerajaan BN kerana gaji minima RM1,000 seolah-olah merekalah pejuang rakyat dan secara terbuka mencabar Menteri BN untuk hidup dengan gaji minima.

“Sekarang ini ‘krik krik krik…’ sedangkan di zaman BN pelbagai program kebajikan rakyat dilaksanakan bagi mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya dalam entri terbaharu di laman facebooknya.

PH bukan sahaja mahu mengurangkan bantuan sara hidup seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) malahan mahu menghapuskannya pula, bidas pengamal undang-undang itu lagi.

“Bonus penjawat awam dikurangkan dan tiada kenaikan gaji… ambil kira juga puluhan ribu yang dipecat dan hilang pekerjaan dengan polisi kerajaan PH sekarang.

“Kos sara hidup terus meningkat dan harga barangan dan perkhidmatan juga semakin mahal… SST (cukai jualan dan perkhidmatan) pula dilaksanakan. Jadi mana pergi pemimpin-pemimpin PH yang kononnya pejuang rakyat? Mana?” soalnya lagi. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.