Cabar Kemenangan Pemimpin BN Hanya Membazir Masa – Dira

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MT) Khaidhirah Abu Zahar melahirkan rasa hairan mengapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu memohon petisyen bagi mencabar keputusan dan kemenangan beberapa kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jelas beliau, walau apapun keputusan mahkamah terhadap petisyen tersebut, ia tidak membawa sebarang perubahan kerana PH telahpun berjaya menumbangkan UMNO dan BN.

“Sebelum ini kemenangan Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong telah dicabar dan kini DUN Kahang pula yang disandang oleh YB R Vidyananthan dari MIC. Alhamdulillah mahkamah menolak patisyen yang dikemukakan oleh calon Bersatu Norlihan Ariffin tetapi sekiranya mahkamah menerima dan kemenangan R Vidyananthan digugurkan, ia tidak membawa sebarang perubahan.

“R Vidyananthan memang dengan majority 3,000 undi dan keputusan membantah salah satu kiraan saluran PRU tersebut jelas tidak mampu mengubah apa – apa keputusan PRU yang lepas.

“Petisyen yang di kemukakan oleh pihak PH sendiri juga tidak mempunyai maklumat sepenuhnya mengenai jumlah saluran di seluruh DUN Kahang. Tindakan seperti ini amatlah membazir masa kerana ianya sudah terang lagi bersuluh akan ketidakmampuan memberikan sebarang kebaikan untuk rakyat khususnya untuk pengundi di DUN Kahang,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Khaidhirah yang lebih dikenali sebagai Dira, kerajaan Malaysia Baru ini seharusnya berfikiran positif dan melihat sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai sesuatu yang akan memberi faedah terhadap rakyat dan negara.

“Andai masih berpaut dengan rasa dendam dan berterusan untuk menghidangkan kisah buruk pihak lawan, ianya tidak akan memberikan faedah pulangan yang baik di masa akan datang.

“Apa pun, tahniah YB R Vidyananthan atas kemenangan kekal ini dan teruslah berkhidmat dengan cemerlang di bawah Parlimen Sembrong bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein,” ujar beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.