Sistem Perundangan Negara Dicabuli Apabila LGE Lepas dan Bebas – Exco Pemuda

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, bagi membuktikan sistem perundangan negara tidak dicabuli, maka Peguam Negara harus mengeluarkan waran agar SPRM menyiasat semula kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ataupun letak jawatan kerana ternyata beliau tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Jelas beliau, sekiranya kes Guan Eng dibiarkan tanpa dibuka semula ini bermakna dalam Jabatan Peguam Negara, kuasa Datuk Hanafiah Zakaria telah melebihi kuasa Peguam Negara.

“Penjelasan yang dikeluarkan oleh Pendakwa Raya tidak memberi justifikasi di sebalik keputusan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng.

“Benar, kuasa untuk meneruskan pendakwaan kes terletak pada Pendakwa Raya namun Peguam Negara mempunyai kuasa untuk arah atau keluarkan waran supaya SPRM menyiasat dan membuka semula kes tersebut. Dalam kes Guan Eng, Peguam Negara ceria apabila kes itu ditarik balik pasukan pendakwa raya,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Shahrul, keputusan Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan terhadap Lim Guan Eng setelah 25 saksi dipanggil memberi keterangan menimbulkan banyak keraguan dan membuatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan negara.

“Semasa di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak tindakan undang-undang telah diambil dan dikenakan ke atas anggota kerajaan antaranya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Haron Idris dan Datuk Seri Dr. Khir Toyo.

“Selain tindakan undang-undang, anggota kerajaan yang terbabit kontroversi yang melibatkan isu peribadi seperti bekas Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib juga diminta untuk melepaskan jawatan.

“Maka, berdasarkan tindakan terdahulu memang terbukti kerajaan di bawah BN tidak menganggu proses perundangan dan melindungi anggota Kerajaan yang berdepan tindakan undang-undang atau isu kontroversi peribadi,” ujar beliau.

Namun, situasi berbeza dalam empat bulan di bawah Kerajaan PH yang kononnya berpegang prinsip “Rule Of Law” kerana banyak campur tangan di dalam proses perundangan melalui penguguran kes-kes melibatkan anggota Kerajaan PH.

Untuk rekod, antara kes yang dibebaskan adalah Rafizi Ramli, R.Sivarasa, N.Surendran, Maria Chin Abdullah, Zunar, Mandeep Singh, kes Shafie Afdal dan kes rasuah pembelian banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Melihat kepada trend, saya yakin Jabatan Peguam Negara bakal mengugurkan satu lagi kes rasuah melibatkan Guan Eng iaitu kes projek Terowong Dasar Laut.

“Secara ringkasnya kes pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Guan Eng hampir sama seperti kes dihadapi bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo.

“Ioninya, Khir Toyo berdepan proses perbicaraan dan dihukum penjara ketika Kerajaan berada di bawah BN. Namun ketika PH berkuasa, Guan Eng dibebaskan kerana Jabatan Peguam Negara telah mengugurkan pertuduhan. Di sini jelas Kerajaan terdahulu yang didokong oleh BN lebih menghormati dan memahami prinsip ‘Rule Of Law’ berbanding Kerajaan PH di era Malaysia Baharu,” bidas beliau seterusnya.

Justeru, SPRM didesak agar segera menyiasat adakah wujud ‘conflict of interest’ di antara Peguam Negara dengan Menteri kerana terdapat dakwaan firma guaman milik Tommy Thomas lebih 10 tahun bertindak sebagai peguam Guan Eng. – MediaUMNO