Kerajaan Johor, Mana Hilangnya 10 Ribu Unit RMMJ?


JOHOR BAHRU, 3 Sept – Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak kerajaan negeri agar menyatakan angka sebenar pembinaan baharu unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang telah mereka luluskan mulai Jun 2018.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berharap kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri selepas ini tidak bercanggah kerana data dan angka jelas membuktikan, sekali gus tidak mengelirukan rakyat yang sememangnya mahu pembinaan RMMJ diteruskan dan pergiatluaskan lagi.

“Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, memaklumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun ini hanya akan menyiapkan 3,718 unit RMMJ.

“Ke mana hilangnya baki sebanyak 9,818 unit RMMJ yang tidak dinyatakan kerajaan PH? Adakah kerajaan PH gagal mendesak pemaju untuk menyiapkan unit berkenaan pada tahun ini?

“Sedangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sudah menyatakan bahawa RMMJ yang siap dibina tahun ini sepatutnya 13,536 unit berdasarkan perangkaan dari ‘Task Force’ (Pasukan Petugas) Perumahan Negeri Johor yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Tegasnya Mohd Hairi lagi, isu pemilikan rumah mampu milik perlu diberi perhatian serius kerana ia menjadi keperluan yang mendesak terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ia sememangnya menjadi isu utama sejak lima tahun sebelum ini, apatah lagi apabila ‘diasak’ dengan situasi harga sebuah rumah yang melambung tinggi terutama dalam kawasan bandar raya seperti di Johor Bahru.

“Atas kesedaran itu, kerajaan diterajui BN sebelum ini mengambil kira soal berkenaan dan komited membina RMMJ bagi membolehkan setiap Bangsa Johor yang berada dalam kumpulan sasaran memiliki kediaman selesa masing-masing.

“Menerusi pembentangan Bajet 2018 pada tahun lalu oleh Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled, beliau memaklumkan kerajaaan negeri meletakkan komitmen tambahan 40,000 unit RMMJ lagi menjelang tahun 2023 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100,000 unit, berbanding sasaran asal 60,000 menjelang tahun 2020,” ujarnya.

Rentetan itu juga Pemuda UMNO Johor ingin berkongsi fakta angka kepada kerajaan negeri jika mereka lupa akan perkara berkaitan.

“Sejak tahun 2014 sehingga Oktober tahun lalu, sebanyak 16,010 unit RMMJ berjaya disiapkan, melepasi 27 peratus sasaran diletakkan dalam tempoh hanya tiga tahun.

“’Task Force’ Perumahan Negeri Johor juga mengunjurkan unit RMMJ yang akan disiapkan adalah sebanyak 13,536 unit bagi tahun 2018, dan 30,993 menjelang tahun 2020,” jelasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.