Calon MCA Mahu Jadi Ejen ‘Semak Dan Imbang’

BANGI, 18 Ogos –  Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong  bertekad untuk menjadi ejen ‘semak dan imbang’ selaku pembangkang kepada  Kerajaan  Negeri Selangor, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Sebagai permulaan, anak jati Balakong itu berkata beliau akan memastikan keadaan di beberapa kawasan di DUN itu yang mana lebih 60 peratus pengundinya adalah daripada kaum Cina lebih selamat.

Antara lain, katanya, beliau berjanji untuk membawa sebuah balai polis baharu di kawasan Sungai Chua, jika dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Balakong.

“Kawasan ini penduduknya ramai, dah ada lebih kurang 20,000 orang, tetapi balai polis terdekat adalah di Kajang, walaupun tidak begitu jauh, tetapi sekiranya sebuah balai polis baharu dibuka di sini, keadaan akan jadi jauh lebih selamat dan mudah kepada penduduk setempat.

Tambahan, di Sungai Chua ini, banyak kejadian jenayah, terutamanya rompakan berlaku, saya ramai kawan-kawan di sini yang mengadu masalah macam ini,” katanya kepada Bernama.

Bapa kepada seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan itu ditemui ketika membuat lawatan di Pasar Sungai Chua pada kempen pertamanya selepas penamaan calon di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama di kawasan berkenaan turut mendapati banyak poster dilekatkan yang memberi amaran supaya berjaga-jaga dengan perompak.

Tan, 40, yang merupakan Anggota Jawatankuasa MCA Bangi (sebelum persempadanan semula MCA Serdang) akan berhadapan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki, 32.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian peyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Tan, yang memiliki sebuah perniagaan di Balakong berkata beliau turut mahu melihat jalan yang lebih sistematik di kawasan penempatan serta sistem perparitan yang lebih terurus di DUN berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 , Ng yang mewakili DAP menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

Ng memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875) dan Mohamad Ibrahim (6,230).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.