Jangan Tergesa-Gesa Mansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 – Azalina
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kerajaan diminta tidak terburu-buru untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang antara lain penggubalannya bertujuan melindungi mereka yang menjadi mangsa berita palsu mendapat keadilan.
Ketua Whip Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penggubalan akta itu yang baru sahaja diwartakan pada 11 April lepas, dibuat dengan penelitian yang mendalam.
“Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) merasakan terdapat fasal atau seksyen yang tidak lagi bersesuaian atau lapuk, pindaan boleh dilakukan tetapi bukan dengan memansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Azalina, walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, masalah penyebaran berita palsu tidak dapat dikawal secara efektif dan pantas berikutan perkembangan teknologi semasa yang semakin pantas dan kompleks.
Ini kerana, katanya, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan; dan Akta Komunikasi dan Multimedia telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini.
“Jika dirujuk Janji 27 Manifesto PH, Akta Antiberita Tidak Benar ini tiada dalam senarai manifesto tersebut. Antara undang-undang yang dijanjikan untuk dimansuhkan adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan lain-lain.
“Namun saya berpendapat adalah lebih baik kerajaan memanfaatkan sidang kali ini dengan memberi keutamaan kepada undang-undang yang diperlukan rakyat Malaysia seperti undang-undang Gangguan Seksual, pindaan kepada Fasal 88A pada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA) dan lain-lain,” katanya.