Sokongan Kepada Pakatan Harapan Jelas Merosot, BN Terima Isyarat Positif

KUALA  LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia,  Datuk Dr Noraini Ahmad berkata keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam jelas menunjukkan kemerosotan sokongan calon Pakatan Harapan.

Jelasnya berdasarkan keputusan PRK itu Pakatan Harapan cuma meraih 63.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi sebanyak 52,650 orang.

“Dengan peratusan keluar mengundi yang menyusut kepada hanya 50 peratus berbanding 85 peratus pada PRU ke-14 lalu, ia mencetuskan persoalan sama ada wujud protes rakyat terhadap janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang belum lagi tertunai dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan.

“Adakah ia juga suatu mesej daripada sebilangan orang Melayu dan Islam yang berasakan kedudukan mereka mula tergugat dan tidak sehaluan dengan `rentak’ Malaysia baru?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau pada 9 Mei lalu BN hanya mencatat kemenangan di dua daripada 19 pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Sungai Kandis dan Kampung Pandan.

“Namun dalam PRK kali ini, BN menang di empat PDM iaitu Johan Setia, Kampung Pandan, Seri Gambut dan Bukit Naga,” katanya.

Justeru anggota parlimen Parit Sulong itu optimis UMNO tetap mempunyai masa depan.

Pada PRK Sungai Kandis calon Pakatan Harapan yang juga pengetua sebuah sekolah Tahfiz, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mempertahankan kerusi itu selepas mengetepikan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang mendapat 9.585 undi serta calon bebas K Murthy (97 undi).

Mohd Zawawi mendapat 15,427 undi.

SPR memaklumkan keputusan rasmi menunjukkan jumlah pemilih keluar mengundi berada pada tajap 49.4 peratus.

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.