PRK Sungai Kandis, BN Dapat Halang Majoriti PKR

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, adalah jelas Barisan Nasional (BN) telah dapat menghalang PKR daripada mencapai matlamat majoriti 10,000 seperti yang mereka war-warkan dan menandakan wujudnya protes rakyat secara berkesan, ujar Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, PRK ini juga melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah yang lebih padu terutama melalui kerjasama awalan UMNO-PAS.

“Statistik keputusan PRK cukup signifikan,” katanya dalam kenyataan media mengulas keputusan PRK Sungai Kandis.

Katanya, undi PKR telah dapat dikurangkan hampir 12,000 atau separuh daripada yang diperolehi dalam PRU lalu.

“Protes rakyat juga ditunjukkan melalui undi yang diberikan kepada pembangkang sebanyak 9,583.

“Ini bermakna lebih daripada 20,000 undi menolak atau memprotes terhadap PKR.

“BN yang menyertai PRK ini dengan serba kekurangan berikutan tekanan yang dikenakan kerajaan PH membeku semua akaun dan merampas dana PRU BN.”

Tegasnya, pelbagai tekanan dikenakan pada pimpinan BN/UMNO, malah kenderaan BN turut disita.

“Jentera BN berkempen secara sederhana malah memutuskan tiada penglibatan BN negeri lain kecuali Selangor.

“Malah Presiden UMNO tidak berapa berceramah pun berbanding PH turun dengan segala kekuatan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim, PM, TPM dan semua menteri, MB dan exco turun habis-habisan tapi gagal menarik rakyat sepenuhnya mempertahankan PKR.”

Katanya, peratusan keluar mengundi adalah paling rendah dalam sejarah pilihan raya negara menggambarkan betapa rakyat muak dengan kerajaan.

“Malah legitimasi wakil rakyat yang dipilih boleh dipertikaikan kerana beliau datang daripada demokrasi yang cacat dan tempang.

“Bagi BN, ini satu kejayaan kerana dapat menghalang PKR mencapai sasaran 10,000 majoriti.

“Ia membangkit kesedaran majoriti rakyat menolak kerajaan PH, dan ini satu permulaan yang sangat memberangsangkan.”

Selaras dengan itu, katanya, UMNO dan BN mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Sungai Kandis termasuk yang memprotes dengan cara tidak keluar mengundi.

“Terima kasih pada semua jentera dan sukarelawan serta penderma yang membantu UMNO/BN dalam PRK penuh simbolik suara rakyat ini.

“Dari sini kita bermulalah menuntut janji ditepati serta memerangi kezaliman, menangkis fitnah serta menolak kerajaan yang dikuasai DAP.

“Dari sini juga, usaha perpaduan ummah untuk membela Islam dan kepentingan orang Melayu/Bumiputera serta rakyat keseluruhan akan diperhebatkan…
Insya’Allah,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.