Pemuda UMNO Desak Tun M Nyata Pendirian Perjuangan Anak Terhadap LGBT


NIBONG TEBAL, 5 Ogos – Pemuda UMNO Nibong Tebal menyelar kenyataan anak Perdana Menteri Marina Mahathir yang menuntut hak sama rata bagi komuniti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).

Ketuanya Mohd Norhiesam Ismail berkata, Tun Mahathir seharusnya menegur anak beliau kerana LGBT ditolak bukan sahaja oleh agama Islam tetapi oleh agama-agama lain juga.

“Baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menangis bila menemui tokoh ulama dan cendekiawan Islam. Beliau mengatakan bagaimana umat Islam perlu kembali kepada al-Quran sebagai rujukan.

“Namun hari ini, anak beliau Marina Mahathir dengan lantangnya meminta hak sama rata bagi golongan LGBT. Adakah kerana ayahnya kini kembali bergelar Perdana Menteri maka Marina semakin berani menongkah arus memperjuangkan budaya hidup songsang yang bakal merosakkan negara ini.

“Harus diingat, bukan agama Islam sahaja yang menolak budaya songsang ini tetapi Hindu, Buddha, Sikh dan agama-agama lain turut menolak LGBT. Mengapa? Kerana aktiviti LGBT ini amatlah dilarang dalam semua agama,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Norhiesam, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem permerintahan demokrasi berpelembagaan dan Islam adalah agama rasmi, maka perjuangan yang dibawa oleh Marina ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran semua agama dan tidak seharusnya diteruskan.

“Desakan dan tekanan yang diberikan terhadap kepimpinan negara termasuk oleh pejuang hak LGBT di negara ini bagi memenuhi tuntutan adalah tidak berasas kerana golongan berkenaan perlu ditangani dengan tegas walaupun yang memperjuangkannya adalah anak kepada seorang Perdana Menteri.

“LGBT ini adalah satu simptom penyakit sosial yang jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa dan mengikis nilai negara. Isu ini harus dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu sudut nilai kenegaraan untuk negara. Ini kerana kita tidak mahu melihat negara mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai.

“Bagi saya isu LGBT bukanlah isu mengenai hak asasi manusia. Sebaliknya isu tersebut merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat kita dan tidak pernah diiktiraf oleh mereka yang waras,” jelas beliau lagi.

Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini malah mahu Tun Dr. Mahathir menyatakan pendiriannya terhadap perjuangan yang dibawa oleh anak beliau.

“Sebagai seorang Perdana Menteri kepada sebuah Negara yang mendaulatkan agama Islam, seharusnya Tun dapat ‘mengawal’ anaknya agar tidak dilihat mempergunakan kedudukan Tun bagi memperjuangkan hak sama rata golongan LGBT.

“Marina pula, sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, sepatutnya sedar apa yang diperjuangkannya ini bakal merosakkan masa hadapan Negara. Sejarah telah membuktikan bahawa LGBT adalah satu bencana.

“Wahai Marina… renunglah… kajilah kisah Nabi Lut A.S,” tegas Norhiesam.

Untuk rekod, pada Februari 2018, International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) melaporkan bahawa pada 2017, seramai 14 daripada 15 penuntut di universiti awam negara kita yang dijangkiti kes HIV/Aids ialah pengamal homoseksual dan biseksual.

Sesungguhnya, pendedahan itu yang memetik sumber dari Unit HIV/AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, adalah berita mengejutkan bagi pengamal bidang perubatan dan kesihatan.

Seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa perlakuan amalan seks luar tabii, sama ada secara sukarela mahupun paksa ialah satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Undang-undang negeri dan Wilayah Persekutuan turut memperuntukkan kesalahan jenayah syariah liwat seperti Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 13 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sarawak) 1991. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.