Undi BN Untuk Pastikan Suara Pembangkang di Sidang DUN Kuat


KLANG, 29 Julai – Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, menyeru anggota UMNO dan PAS mengundi parti itu pada 4 Ogos ini, bagi memastikan suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) bertambah kuat.

Calon itu, Datuk Lokman Noor Adam berkata langkah itu juga bertujuan untuk memberi isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran mereka sebagai kerajaan.

“Jika sebelum ini ada ahli UMNO sendiri yang protes (terhadap parti) dengan tidak keluar mengundi, saya berharap kali ini mereka akan kembali kepada BN supaya kita dapat memberikan isyarat jelas kepada PH bahawa rakyat tidak berpuas hati terhadap mereka.

“Berhubung pendirian PAS pula yang menolak PH dan memilih BN, saya yakin dengan keputusan parti (PAS) itu dan berharap ahli PAS akan turun dan mengundi kami,” katanya.

Lokman berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian kepemimpinan PAS yang menyatakan keputusan mereka untuk mengundi calon BN dalam pilihan raya kecil tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menjangkakan akan memperoleh lebih banyak undi daripada masyarakat India di kawasan DUN tersebut.

“Sekiranya dalam PRU-14, (Pilihan Raya Umum ke-14) BN hanya memperoleh 25 peratus undi masyarakat India, kali ini saya merasakan ada lonjakan dan saya menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus undi mereka.

“Ini kerana hasil bertemu masyarakat setempat, rata-rata mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan pimpinan PH yang dilihat gagal menangani isu tempatan dan nasional membabitkan kaum berkenaan,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.