Nizar Najib Kongsi Pentas Dengan Lokman Pastikan Sokongan Untuk BN

SHAH ALAM, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam hari ini berkongsi pentas dengan Datuk Mohd Nizar Najib yang merupakan anak kepada mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sempena Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Bertempat di Taman Rakyat Klang, Datuk Mohd Nizar yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Pekan menyeru pengundi agar memberikan undi mereka kepada calon BN, Lokman supaya suara rakyat dapat dibawa pada sidang DUN khususnya dalam usaha menuntut janji yang telah diberikan sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Saya menyerulah kepada seluruh pengundi di Sungai Kandis ini memberi peluang kepada Datuk Lokman kerana dalam kerajaan yang berpaksikan kepada demokrasi kita perlu ada ‘check and balance’.

“Lokman mempunyai kapasiti dan kredibiliti untuk memberi tekanan dan mempunyai suara yang lantang serta tegas untuk memperjuangkan suara rakyat di DUN Selangor dan saya percaya sekiranya beliau diamanahkan dengan tugas berkenaan ia mampu dilaksanakan dengan penuh semangat.

“Berilah peluang kepada beliau dan kita yakin mampu lakukan yang terbaik,” katanya ketika berucap bersama program ‘Speaker Corner’ yang diadakan di Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, Lokman dalam ucapan ringkasnya sekali lagi mengulangi apa yang diperkatakan dalam setiap kempennya sebelum ini bahawa PRK berkenaan bukan sekadar untuk memilih seorang ADUN mahupun wakil rakyat malah jauh lebih daripada itu.

“Ianya juga merupakan signal daripada seluruh rakyat Malaysia…kenapa…kerana 4 Ogos ini ianya juga merupakan satu pungutan suara sejauh mana rakyat berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 82 hari.

“Adakah anda semua berpuas hati… adakah rakyat berpuas hati… hari ini kita lihat banyak janji-janji yang mereka lontarkan sebelum PRU lalu satu pun mereka gagal untuk tunaikan.

“Hari ini hari ke-82 janji 100 hari ada sepuluh janji sepatutnya hari ini lapan daripada sepuluh janji berkenaan telah ditunaikan…tetapi sebaliknya. Kalau inilah prestasinya apa akan jadi terhadap janji mereka,” katanya.

Lokman sebelum itu juga turut mengadakan kempennya bersama masyarakat warga India di kawasan sekitar dan mendapat sokongan yang cukup baik, malah Lokman dilihat cukup bersemangat meneruskan kempennya yang masuk hari ke-8 hari ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.