Calon BN Kesal Sikap Calon PKR Yang Tidak Patuh Undang-Undang Jalan Raya

SHAH ALAM, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam melahirkan kekesalan dengan sikap calon lawan daripada parti PKR iaitu Mohd Zawawi Ahmad Mughni apabila rombongan konvoi mereka cuba menghimpit konvoi calon BN sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Jelas beliau, rombongan calon PKR juga telah menggunakan laluan kecemasan dan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya kecewa dengan sikap calon PKR ini, bukan sahaja mereka menghimpit kenderaan kami dan hampir mneyebabkan kemalangan malah memotong konvoi kami dengan menggunakan laluan kecemasan di sebelah kiri.

“Kalau pemandu saya melanggar lampu merah saya akan marah dan dia (Zawawi) sepatutnya menegur pemandunya agar tidak menggunakan laluan kecemasan dalam apa keadaan sekalipun.

“Semua orang hendak cepat dan ada banyak tempat nak pergi tetapi undang-undang tetap kena patuhi,” ujar beliau kepada UMNO-Online

Bercerita mengenai kempen di PRK Sungai Kandis pula Lokman turut membidas Zawawi yang membangkitkan soal isu tempatan sedangkan PKR sudah menjadi kerajaan negeri masuk penggal yang ketiga.

“Sepatutnya dia tidak perlu mainkan isu tempatan kerana dia sepatutnya selesaikan isu tersebut. PKR jadi kerajaan negeri masuk penggal ketiga jadi tidak kena kalau mereka mainkan isu tempatan. Kita sepatutnya mainkan tersebut,” ulas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.