UMNO Desak Rakyat Malaysia Tolak NGO Samakan Perjuangan Dengan Palestin


KUALA LUMPUR, 27 Julai – UMNO terkejut dengan kenyataan pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) Malaysian Tamillan Today yang menyamakan perjuangan pertubuhan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), dengan perjuangan Palestin.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, UMNO mengutuk keras kenyataan presidennya N Shanmugam dan mendesak rakyat Malaysia serta umat Islam menolak pendirian NGO ini.

“Perlu diingat bahawa asas perjuangan LTTE yang diasaskan oleh Vellupillai Prabhakaran pada tahun 1976 ialah bagi menuntut kerajaan Sri Lanka memberi autonomi di wilayah timur laut negara itu, atau sebuah negara merdeka bagi orang Tamil.

“Meskipun mereka mendakwa sudah menduduki wilayah Jaffna dan Batticaloa sejak 20,000 tahun lalu, mereka adalah rakyat keturunan Tamil Sri Lanka, sebuah negara berdaulat dan merdeka.

“LTTE melancarkan serangan gerila dan membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa serta merosakkan harta benda awam dalam memperjuangkan tuntutannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam erti kata lain, katanya, mereka mahukan sebuah negara untuk orang Tamil di dalam sebuah negara merdeka, serta menentang kerajaan Sinhala di Colombo.

“Berlainan dengan penduduk Palestin, mereka menerima pendatang Yahudi di bawah Perisytiharan Balfour tahun 1926, dan membenarkan satu penempatan dikhususkan untuk mereka ketika itu.

“Tetapi Yahudi Israel sedikit demi sedikit menjajah tanah nenek-moyang mereka dan melancarkan Perang Enam Hari pada 1967 untuk meluaskan cengkaman mereka ke atas bumi Palestin.

“Dengan rang undang-undang Bumi Yahudi minggu lepas, semua tanah Israel dan wilayah Arab yang didudukinya menjadi hak Yahudi, sekaligus menyekat sebarang tuntutan Palestin dan umat Islam ke atas Baitulmuqaddis atau Jerusalem.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong menegaskan bahawa rakyat Palestin ditindas di negara sendiri, berlainan dengan LTTE yang ingin membina wilayah di dalam sebuah negara berdaulat, meskipun mereka sendiri adalah rakyat Sri Lanka. Namun, mereka enggan menjadi warganegara Sri Lanka dan mahukan negara sendiri.

“Hal ini samalah dengan tuntutan keturunan Sikh pimpinan Harchand Singh Longowal, rakyat India yang mahu menuntut penubuhan sebuah negara Khalistan di bumi India, suatu masa dahulu.

“Janganlah jadikan Palestin sebagai asas untuk menyokong pertubuhan pengganas LTTE. Buatlah kajian sejarah terlebih dahulu.

“ Sebagai rakyat Malaysia, ternyata NGO ini boleh menjadi ancaman kepada negara ini. UMNO dengan itu mendesak kerajaan mengkaji semula kewujudannya dan menyiasatnya.”

Ujarnya, seperti Gerakan Acheh Merdeka (GAM), UMNO tidak pernah menyokong perjuangan mereka untuk menubuhkan negara asing di wilayah Indonesia.

“Jadi, berhati-hatilah apabila mengeluarkan kenyataan. Kita bimbang pendirian sebegini akan mewujudkan suasana tidak baik kepada rakyat dalam negara ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.