Cabaran Ekonomi Dan El Nino, Terus Perkukuh Kesepakatan Demi Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Kerajaan terus memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan yang lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-149 yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen semalam.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran serta ketidaktentuan global semasa, selain meneliti tahap kesiapsiagaan negara berdepan fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan kepada bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan dan risiko cuaca panas serta kering.

“Saya percaya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dasar dan inisiatif yang lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat kesepakatan yang terus diperkukuh antara kedua-dua peringkat kerajaan akan membantu memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat di seluruh negara.

“Insya-Allah, semangat kesepakatan yang terus diperkukuh ini akan membantu memastikan setiap manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat di seluruh negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO