Kasih Kepada Rakyat Diukur Melalui Tindakan, Bukan Pengumuman – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 23 Jun – Kasih kepada rakyat tidak seharusnya diukur melalui jumlah program atau nilai peruntukan yang diumumkan, sebaliknya melalui tindakan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat secara nyata.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, Kerajaan Negeri Johor sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam setiap usaha yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Kenyataan itu dibuat berhubung Program Sentuhan Kasih KPKT Johor 2026 serta pengumuman bahawa sebanyak RM1.08 bilion telah disalurkan kepada Johor sejak tahun 2023.

Tegas Mohd Jafni, rakyat hari ini tidak lagi menilai berdasarkan angka peruntukan atau jumlah program yang diumumkan, sebaliknya melihat sama ada projek yang dijanjikan benar-benar siap dan dapat dimanfaatkan.

“Rakyat tidak lagi menilai berdasarkan jumlah program atau angka yang diumumkan. Mereka menilai sama ada rumah yang dijanjikan siap, hak milik diserahkan, projek bergerak dan masalah mereka diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, antara persoalan yang masih menjadi perhatian rakyat ialah status Projek Rumah Rakyat (PRR) Bandar Tenggara yang telah memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada 22 Disember 2025, namun proses penyerahan serta urusan berkaitan di peringkat KPKT dan Jabatan Perumahan Negara masih belum dimuktamadkan.

Selain itu, katanya, rakyat juga ingin mengetahui perkembangan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kluang dan PRR Larkin yang diumumkan sejak tahun 2023, selain isu naik taraf Flat Taman Ungku Tun Aminah yang telah lama dibangkitkan.

Di Pasir Gudang pula, beliau berkata hanya dua daripada pelbagai cadangan projek pihak berkuasa tempatan diluluskan, manakala cadangan menaik taraf Pasar Awam Johor Jaya yang dikemukakan sejak 2022 masih menunggu pelaksanaan.

Mohd Jafni turut berkata rakyat berhak mengetahui status projek-projek yang telah diumumkan sebelum ini, termasuk kerja-kerja naik taraf di PRR Desa Mutiara.

“Apabila disebut angka RM1.08 bilion yang disalurkan kepada Johor, rakyat berhak meminta penjelasan yang lebih terperinci. Berapa projek yang telah siap, berapa yang masih tertangguh, berapa yang belum bermula dan berapa yang masih berada pada peringkat pengumuman?” katanya.

Dalam tempoh sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan RM767.38 juta melalui pelbagai Inisiatif Perumahan Johor yang memberi manfaat kepada 160,359 keluarga melibatkan lebih 641,436 rakyat negeri itu.

Menurutnya, sepanjang empat tahun lalu kerajaan negeri juga membantu menggerakkan penyelesaian 19 projek perumahan sakit dan terbengkalai melibatkan 4,253 unit kediaman dengan nilai pembangunan melebihi RM1.08 bilion.

Beliau berkata, walaupun sebahagian besar projek berkenaan melibatkan pelbagai agensi termasuk agensi Persekutuan, kerajaan negeri memilih untuk memudah cara, menyelaras dan mencari jalan penyelesaian demi memastikan pembeli akhirnya memperoleh rumah yang telah lama dinantikan.

“Yang penting bukan siapa paling banyak membuat pengumuman atau siapa paling dahulu mahu mengambil kredit. Yang penting ialah rakyat mendapat penyelesaian dan manfaat yang dijanjikan benar-benar sampai kepada mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, ukuran sebenar kasih kepada rakyat bukan terletak pada besarnya angka yang diumumkan atau banyaknya program yang dianjurkan, tetapi pada keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan setiap janji yang dibuat diterjemahkan kepada tindakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO