‘Lawan Dan Lawan’ Serta ‘Undi BN’ Bergema Di Pasar Malam Jalan Kebun

SHAH ALAM, 27 Julai – Lawan…lawan..lawan pakatan…hidup…hidup rakyat…hidup…hidup… hidup BN…undi…undi…undi Lokman, begitulah suasana meriah dengan kempen jentera Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Pasar Malam Lorong Hj Said Jalan Kebun.

Menerusi ‘Speaker Corner: Mesej Daripada Pembangkang’ yang berada di tengah-tengah pasar malam terbabit, beberapa penceramah melontarkan pelbagai pandangan dalam usaha megentengahkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam selain beberapa isu semasa yang melingkari kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Aktivis masyarakat Tun Faisal Ismail Aziz yang turut serta pada kempen berkenaan menempelak kerajaan baru PH yang hari ini seolah-olah mahu rakyat lupa terhadap produk 1Malaysia sungguh pun ianya memberi manfaat kepada masyarakat.

“Apa produk 1Malaysia… Klinik 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya lagi. Berapa banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu tetapi sebaik PH mengambil alih apa yang mereka buat…adakah harga barang turun…apa yang turun…?” soalnya.

Pengunjung yang hadir menjawab spontan apa yang dilontarkan oleh Tun Faisal dengan jawapan tomato menyebabkan mereka yang berada di kawasan sekitar tergelak seketika.

Tun Faisal seterusnya menambah yang turun selepas PH mengambil alih seterusnya adalah elaun raya penjawat awam selain kejatuhan nilai ringgit serta harga komoditi sawit.

“Sebab itu ramai yang telah menyesal dengan apa yang berlaku hari ini. Dulu emak dan bapa saudara saya, serta kawan-kawan saya yang tidak percaya bila kita beritahu sebenarnya harga barang tidak ada kaitan sangat dengan GST. Banyak faktor-faktor lain namun tidak percaya. Mereka percaya janji PH bahawa sebaik sahaja mereka memegang kerajaan akan hapuskan GST dan harga barang akan turun. Itulah yang dipercaya dulu.

“Namun hari ini dengan kadar GST yang dah kosong peratus apakah harga barang-barang turun atau sebaliknya. Kita tidak salahkan peniaga sebab  mereka ada kos.

“Kalau dulu cukai jualan di bawah SST kosong untuk ikan, sayur dan beras bila harga barang naik adakah disebabkan oleh cukai terbabit. Tetapi pemimpin  pembangkang dahulunya dia bohong rakyat. Dia kata kalau mereka perintah hapuskan GST harga barang akan turun. Saya nak tanya keadaan itu berlaku atau sebaliknya hari ini?” katanya.

Katanya lagi banyak lagi janji yang dilontarkan oleh PH termasuklah soal PTPTN, harga minyak dan beberapa perkara lain yang perlu dituntut rakyat.

“Sebab itu kalau mahu janji ditunaikan dan rasa menyesal…, menyesal kerana undi pakatan kita diabaikan…, rasa menyesal terlibat bersubahat menipu rakyat kononnya harga barang akan turun, minyak akan turun…undilah BN pada PRK ini.

“Saya nak merayu… kalau ada sedikit penyesalan dan kalau ada rasa tertipu dengan janji-janji palsu ini dan kalau ada rasa tersilap pangkah, pangkahlah calon BN, Datuk Lokman Noor Adam. Beliau adalah suara rakyat. Beliau akan angkat suara kita,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.