Kerajaan PH Sebuah Kerajaan Yang Tidak Stabil – Dr Latiff

SHAH ALAM, 27 Julai – Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berpandangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini merupakan sebuah kerajaan yang tidak stabil kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hanya mempunyai 10 peratus sokongan yang membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Menurut beliau walaupun ada ‘ijab dan kabul’ serta perjanjian-perjanjian tertentu antara parti yang membentuk kerajaan PH hari ini, senario memperlihatkan dengan jelas ianya sebuah kerajaan yang amat tidak stabil di dunia.

“Walaupun dipimpin oleh PM yang paling berpengalaman di dunia, dua kali jadi PM… kali pertama dengan majoriti dua pertiga dan waktu itu beliau menjadi Presiden UMNO. Kali ini Allah SWT bagi peluang memimpin Malaysia dan jadi PM ketujuh tetapi bezanya amat jelas PM yang ketujuh ini hanya mempunyai 13 kerusi di Parlimen. Hanya 10 peratus daripada kerajaan ‘simple majority’.

“Benar kata SUA UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa Dr Mahathir lantik menteri-menteri tetapi beliau tidak percaya kepada menteri-menterinya lantas apa yang beliau buat adalah dengan memberi kuasa bukan kepada menteri tetapi kepada orang-orang yang beliau percaya pada ketika beliau menjadi PM ke-4.

“Ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) … biasanya kalau nak buat ‘appointment’ dan mahu jumpa pemuka-pemuka negara China orang yang mula-mula pergi buat tinjauan mestilah menteri luar. Peliknya menteri luar yang ada hari ini banyak dalam negara. Sepatutnya menteri luar kerja banyak luar negara, malah kalau ada masalah apa-apa pun hantarlah menteri tapi ini hantar orang yang saya hormat jugalah iaitu Tun Daim ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramah ringkas pada Majlis Santai BBQ di Pusat Daerah Mengundi Jalan Kebun, di sini, malam tadi.

Menyambung ucapannya beliau seterusnya menggesa agar jentera parti di semua peringkat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis memberikan penjelasan mengenai kerajaan yang ada hari ini.

“Jadi beritahulah kepada rakyat dan masyarakat di sini bahawa inilah kerajaan yang ada hari ini. Pada masa yang sama buktikan kita buat yang terbaik dan menggesa para pengundi agar tidak melatah pada hari mengundi nanti. Jangan latah dan amuk di peti undi kerana kita dapat lihat hasilnya hari ini setelah berlalunya PRU yang lalu. Pastikan suka atau tidak suka kita mahu BN menang PRK Kandis,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.