Saya Cabar Buktikan UMNO Terima Duit 1MDB – Pasir Salak

KUALA LUMPUR, 26 Julai – “Saya cabar sesiapa sahaja daripada kamu (pemimpin PH) untuk tunjukkan bukti yang UMNO ada terima duit daripada 1MDB. Lepas ini siapa yang bercakap sila tunjuk bukti,” tegas Ahli Parlimen Pasir Salak.

Beliau berkata demikian ketika membahas titah ucapan Diraja di Dewan Rakyat.

Menurut Tajuddin, para pemimpin PH telah sewenang-wenangnya membuat tuduhan tersebut sedangkan hakikatnya mereka tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu.

“Kononnya UMNO terima duit daripada 1MDB. Ini semua adalah satu tuduhan. Kamu tidak ada bukti,” ujar beliau menjawab tuduhan demi tuduhan daripada Ahli Parlimen PH.

Selain itu beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap Ahli Parlimen Pekan yang juga merupakan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus dihukum berkaitan 1MDB walaupun isu ini telah dibawa ke mahkamah dan sedang dibicarakan.

“Saya kesian dengan Ahli Parlimen Pekan… Dewan ini bukanlah tempat kita mengadakan perbicaraan. Dewan ini bebas bagi kita untuk bercakap apa juga. Tapi bukan tempat untuk kita mengadakan perbicaraan terhadap mana-mana pihak, jauh sekali daripada menghukum.

“Berbalik kepada soal Pekan (Najib), 1MDB dan sebagainya, biarlah undang-undang mengambil keputusan (dan) pihak yang berkuasa membuat tindakan apa yang perlu. Siasat, dakwa ke mahkamah.

“Tapi sekarang ini Pekan, saya kesian. Dia telah dibicarakan di dalam dewan, di luar dewan, diputuskan hukum,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.