Kerajaan Temberang Rakyat Berhubung Pelaksanaan SST Gantikan GST – Ahmad Maslan

SHAH ALAM, 26 Julai – Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan hari ini mendedahkan bahawa kenyataannya dengan pelaksanaan GST yang boleh menyebabkan harga barang turun telah dimanipulasikan oleh pihak pembangkang ketika itu sehingga menyebabkan timbulnya kekeliruan yang amat sangat di kalangan rakyat terhadapnya.

Menurut Ahmad, memang benar beliau menyatakan bahawa harga barangan akan turun dengan pelaksanaan GST namun beliau tidak pernah menyebut harga semua barangan akan turun.

“Saya sebut GST boleh menurunkan harga barang. Saya tidak sebut GST menurunkan harga semua barang. GST boleh menurunkan harga barang. Apa yang saya katakan itu adalah berdasarkan pandangan yang dibuat oleh pihak kastam dan Kementeria Kewangan yang kemudiannya termaktukb di dalam bajet yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan. Saya hanya mengulas balik kenyataan menteri kewangan ketika itu.

“Dan pada ketika itu, memang ada senarai harga-harga barang yang boleh turun dengan pelaksanaan GST Ini. Kenapa GST boleh menurunkan harga barang? Kira-kira mudahnya ialah sistem SST dulu mengenakan cukai sebanyak 10 peratus dan GST hanya 6 peratus.

“Pada 1 April 2015, semua muka depan suratkhabar utama menyebut harga kereta turun. Itu membuktikan apa yang saya sebut itu betul. Pada 30 Oktober 2017, soalan dalam dewan rakyat yang ditanya oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian (PAS), adakah GST menurunkan harga barang telah dijawab oleh KPDNKK.

“Dijawab oleh di dalam dewan rakyat, pelaksanaan GST telah menurunkan 223 harga barang. Kita mungkin tidak tahu kerana kita bukan tiap-tiap hari barangan tersebut. Yang tahu ialah KPDNKK, kerana mereka memantau setiap hari harga barang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika di soal oleh Tun Faisal dalam program Diskusi N49 yang disiarkan secara langsung melalui facebook Media UMNO Malaysia, berhubung kenyatannya yang menjadi viral, bahawa GST boleh menurunkan harga barang ketika diawal pelaksanaan GST kira-kira tiga tahun yang lalu.

Namun kata beliau lagi, kenyataannya itu telah diputar belitkan oleh pihak pembangkang ketika itu sehingga rakyat terkeliru dan terpercaya bahawa apa yang beliau sebutkan itu tidak betul dan tidak benar.

“Bagaimanapun mereka memutar belitkan kenyataan saya sehingga menjadi viral. Tapi tak apalah, apa yang sudah berlaku itu sudahpun berlaku. Namun saya amat tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk kembali melaksanakan sistem SST.

“Ini kerana rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) ini tidak pernah tahu yang GST yang disifarkan itu akan digantikan dengan cukai yang lebih tinggi. Rakyat kena tipu sebenarnya. Mereka kata GST akan dihapuskan.

“Tetapi mereka tidak sebut GST akan dihapuskan dan kita akan tukar kepada SST yang berjumlah 10 peratus yang pastinya lebih tinggi daripada 6 peratus. Mereka tidak sebut 10 peratus itu. Ini bererti mereka temberang rakyat dengan perkara ini.

“Sebab itu saya menyeru, pengundi-pengundi di Sungai Kandis, untuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menghapuskan GST untuk menggantikan dengan sistem cukai yang lebih tinggi ini, serta janji-janji kerajaan yang tidak ditepati, maka pada 4 Ogos ini kita undi Datuk Lokman Adam untuk menyatakan rasa bantahan kita itu terhadap kerajaan.” ujarnya lagi. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.