PRK Sungai Kandis Mampu Perlihatkan Perjalanan Demokrasi Yang Matang – Najib

SHAH ALAM, 25 Julai – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mampu memperlihatkan perjalanan demokrasi yang matang di DUN Selangor.

“Ini sedang berlaku sekarang ini, dan kita akan manfaatkan ruang yang ada,” katanya kepada pemberita selepas ‘walkabout’ bersama calon BN, Datuk Lokman Noor Adam di Kampung Sungai Kandis di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengenai pemilihan Lokman sebagai calon, Najib yang juga bekas pengerusi BN berkata, anggota Majlis Tertinggi UMNO itu adalah seorang individu yang amat berwibawa, lantang dan berani mengutarakan pendapat dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Inilah orangnya yang kita perlukan di DUN untuk memperlihatkan perjalanan demokrasi yang matang lagi sihat kerana perbezaan pendapat itu kalau ditangani ikut prinsip semangat demokrasi boleh bawa manfaat dan kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Najib yang enggan membuat sebarang ramalan berhubung keputusan PRK itu berkata adalah penting untuk mewujudkan keseimbangan suara di DUN dan mengelakkan hanya satu pihak sahaja yang menguasai majoriti kerusi di dalam dewan.

Ditanya sama ada tindakan pembekuan akaun UMNO oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sejak 28 Jun lepas menganggu perjalanan kempen, beliau berkata keadaan itu tidak menjadi penghalang memandangkan kempen PRK berkenaan hanya melibatkan perbelanjaan paling minimum.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada BN mengadakan perbincangan dengan PAS untuk membantu kempen PRK, Najib berkata terserah kepada presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan tindakan sewajarnya.

“Kalangan penyokong PAS mereka melihat komitment UMNO terhadap Islam jauh lebih besar daripada Pakatan Harapan, namun kita harus bersikap realistik terhadap sikap bermusuhan sejak berdekad lamanya antara PAS dan UMNO.

“Mungkin terdapat perasaan yang berlarutan yang kita tidak boleh terlepas pandang, namun diharapkan rakyat akan sedar bahawa apa yang penting bukanlah masa lalu tetapi masa depan,” katanya yang turut menafikan bahawa UMNO dan PAS hanya memperjuangkan kaum Melayu dan agama Islam.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama selepas PRU14 yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Pada PRK itu Lokman bakal ditentang calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas K. Murthy.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.