DEB Harus Disemak Semula Bagi Cerminkan Situasi Semasa – Tengku Razaleigh
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) harus disemak semula bagi memastikan dasar berkenaan kekal relevan dengan situasi ekonomi semasa.
“Semakan semula itu cadangan yang bagus. Apa juga polisi perlu disemak semula. Tidak ada yang abadi. Setiap sesuatu itu akan berubah dan kita perlu berubah mengikut peredaran masa,” kata Anggota Parlimen Gua Musang kepada pemberita di lobi parlimen, di sini hari ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Isnin berkata kerajaan akan menyemak semula DEB, dasar tindakan afirmatif yang diperkenalkan pada 1970, seiring dengan aspirasi Malaysia Baharu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan agihan yang saksama.
Beliau juga berkata sebarang polisi ekonomi harus didasari pada keperluan bukan kaum.